Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Lebih Ramai Pelajar SMK Pantai Jalani Ujian Saringan

LABUAN, 20 Okt — Lebih ramai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai di sini diminta menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Membedai hari ini selepas seorang lagi pelajar tingkatan lima sekolah itu positif virus berkenaan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pelajar yang positif COVID-19 itu merupakan kontak rapat kepada seorang pelajar yang disahkan positif minggu lepas sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 17 Okt.

“Kes positif COVID-19 yang pertama itu menyebabkan sekolah berkenaan ditutup pada 14 Okt,” katanya kepada Bernama selepas menerima lapan pegawai perubatan daripada Jabatan Kesihatan Kelantan bagi membantu menangani pandemik COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Pantai Norazita Md Noor@Shamsuri menerusi mesej kepada ibu bapa berkata pelajar yang kelas mereka berada di tingkat sama dengan pelajar yang dijangkiti perlu menjalani ujian calitan COVID-19.

Sekolah pertama yang diarahkan tutup sementara untuk disanitasi ialah SMK Mutiara pada 8 Okt selepas dua pelajar diuji positif, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Kerupang dengan seorang pelajar dan SMK Pantai pada 14 Okt.

Labuan, hab minyak dan gas serta pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia, merekodkan peningkatan kes COVID-19 setiap hari sejak seminggu lepas, menjadikan jumlah kepada 154 kes di pulau itu setakat semalam.

Labuan juga dikuatkuasakan PKPB selama dua minggu bermula 17 hingga 30 Okt.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right