Siakap Keli
Gambar: Facebook Rasmi Sultan Selangor

Naik Taraf Status Subang Jaya Dapat Perkenan Sultan Selangor, Kini Jadi Bandaraya

SUBANG JAYA, 20 Okt – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj memperkenan menaik taraf status Subang Jaya sebagai bandar raya mulai hari ini.

“Beta dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), akan bermula pada 20 hari bulan Oktober 2020 bersamaan 3 Rabi’ul Awal 1442 Hijrah menjadi sebuah bandar raya buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua MPSJ hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Subang Jaya, manakala ahli-ahli MPSJ hendaklah ditafsirkan sebagai ahli-ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya,” titah Baginda dalam perutusan tersebut hari ini.

Gambar: Facebook Rasmi Sultan Selangor

Difahamkan, majlis pengisytiharan tersebut pada awalnya akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini.

Bagaimanapun, Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sultan Selangor, Dato’ Muhamad Munir Bani berkata, ia tidak dapat dijalankan berikutan situasi negeri yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat kini.

“DYMM Sultan Selangor telah berkenan agar pengisytiharan Majlis Bandaraya Subang Jaya tersebut diadakan melalui media massa atau secara maya.

“Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Datuk Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya akan diadakan di Istana Bukit Kayangan pada tarikh dan masa yang sesuai yang akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar: Facebook Rasmi Sultan Selangor
Gambar: Facebook Rasmi Sultan Selangor

Sumber: Facebook Rasmi Sultan Selangor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'