Siakap Keli

Tak Pakai Pelitup Muka, Lelaki Warga Myanmar Dipenjara 14 Hari

KUALA LUMPUR: 20 Okt, akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki warga Myanmar dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret S. Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ki Raung Do Raung, 21, yang tidak bekerja selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 29 Sept lepas.

Lelaki itu didakwa gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat jangkitan) 2020 dengan tidak memakai topeng pelitup muka di sebuah stesen minyak, Jalan Gombak, Setapak, di sini, pada 12.30 tengah hari, 6 Okt lepas.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ki Raung yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dengan alasan tidak mampu membayar denda kerana tidak mempunyai wang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman