Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tukang Masak Didakwa Rogol Nenek 20 Cucu

KAJANG, 20 Okt (Bernama) — Seorang tukang masak restoran makanan segera  didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol jirannya yang juga nenek kepada 20 cucu, minggu lepas.

Bagaimanapun, lelaki yang berumur 29 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Lelaki itu didakwa merogol wanita berumur 57 tahun berkenaan di satu unit di sebuah pangsapuri di Semenyih, antara 2 hingga 2.40 petang, 15 Okt lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat tidak menawarkan sebarang jaminan dan tertuduh merayu agar diberi ikat jamin memandangkan dia tidak lagi tinggal di pangsapuri itu dan tidak akan mendekati mangsa.

Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Dis ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa