Siakap Keli
rentas negeri
Kredit: Bernama

‘Weekend Husband’ Antara Permohonan Rentas Negeri Ditolak

KUANTAN, 20 Okt (Bernama) — Permohonan daripada individu yang mendakwa “weekend husband” (suami hujung minggu) untuk perjalanan rentas negeri ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah antara yang ditolak oleh polis di sini sejak kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata bagi tempoh itu hingga sekarang, pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan rentas negeri daripada mereka yang menetap di daerah ini dengan 830 diluluskan.

“Kira-kira 300 ke 350 permohonan pula ditolak kerana alasan yang diberikan tidak cukup kuat atau tiada dokumen sokongan. Sebagai contoh, ada yang memberikan alasan dirinya adalah weekend husband (suami hujung minggu) dengan keluarga berada di kawasan yang diwartakan PKPB.

“Bila ditolak, ada yang mengatakan polis tidak prihatin sedangkan kita minta mereka yang tidak perlu melakukan perjalanan duduk di rumah daripada masuk ke kawasan PKPB yang boleh merisikokan diri mereka atas sebab keprihatinan polis,” katanya pada sidang media selepas melakukan Program Ziarah Prihatin dan Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di sekitar daerah ini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata setakat hari ini, dua pegawainya serta seorang koperal sedang menjalani kuarantin kendiri sejak enam hari lepas.

“Dua pegawai terlibat baru pulang daripada kursus di Kuala Lumpur yang mana seorang pengajar mempunyai gejala dan ujian saringan selepas itu didapati positif COVID-19 menyebabkan kita mengarahkan mereka (pegawai terbabit) bersama keluarga menjalani kuarantin kendiri.

“Koperal lelaki yang masih bujang itu pula diarahkan menjalani kuarantin kendiri kerana tidak sihat selepas selesai menjalani tempoh kuarantin 14 hari di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur selepas pulang daripada bertugas di Sabah baru-baru ini,” katanya, menambah ketiga-tiga mereka sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.