Siakap Keli

“69.2% Jangkitan Di Selangor Tiada Kaitan Dengan Mereka Yang Pulang Dari Sabah” – Dr Noor Hisham

Gelombang ketiga COVID-19 menyaksikan kes wabak itu di Selangor meningkat secara mendadak sejak penghujung September lepas, susulan kemasukan dan kepulangan pengunjung dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama dilaporkan di Selangor adalah Kluster Jalan Apas pada 28 Sept, melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah.

Beliau berkata susulan itu, peningkatan kes penularan tempatan di Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan terus meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.

“Daripada 26 kluster aktif dicatatkan di Selangor, lapan kluster adalah mempunyai kaitan dengan pengembara pulang dari Sabah.

“Pertambahan kes dan kluster baharu setiap hari di Selangor juga berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan penduduk yang tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengenai kes baharu di negeri itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan 132 kes positif hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Selangor kini sebanyak 3,489 kes.

Katanya daripada jumlah kes baharu itu, 84 kes adalah daripada kluster sedia ada termasuk lapan kes dari kluster yang berkaitan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

Bagi 26 kluster aktif  di Selangor, beliau berkata 18 daripadanya adalah kluster jangkitan tempatan termasuk sembilan kluster berkaitan rapat dengan penularan di tempat kerja dan satu kluster dikaitkan dengan tempat membeli belah awam.

Sebanyak 18 kluster aktif di Selangor (69.2%) adalah kluster jangkitan tempatan dan 8 kluster (30.8 %) adalah mereka yang pulang dari Sabah. Ini bermakna 69.2% jangkitan di Negeri Selangor tiada kaitan dgn mereka yang pulang dari Sabah. Virus Covid-19 sudah ada di persekitaran komuniti kita.

“Kluster Utama adalah kluster Covid-19 terbesar di Selangor ketika ini dengan jumlah kes positif sebanyak 194,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Kesihatan itu memaklumkan terdapat satu lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini di Kota Belud, Sabah, iaitu Kluster Kertang.

Kata beliau kes indeks bagi kluster itu (kes ke-17623) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 14 Okt dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Projek Perumahan Rakyat Taman Seri Bayu, Kota Belud.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 19 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 20 Okt, seramai 216 individu telah disaring dengan 20 kes positif COVID-19 dan 195 individu negatif,” katanya.

 

Sumber: Bernama , DG Noor Hisham

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang