Siakap Keli

APMM Tahan Empat Lelaki Termasuk Tekong Warga Indonesia

ALOR GAJAH, 21 Okt — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan empat lelaki termasuk seorang tekong warga Indonesia ketika cuba memasuki negara ini secara haram di perairan Tanjung Sepat, Selangor pada pukul 9.55 malam semalam dalam Op Benteng.

Pengarahnya Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 38 hingga 53 tahun, dipercayai dari perairan Indonesia yang sedang menuju masuk ke perairan negara ini melalui Tanjung Sepat.

Beliau berkata APMM menggerakkan dua bot ronda ke lokasi sasaran bagi pengesanan dan pemantauan selepas mendapat maklumat daripada stesen pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).

“Setibanya di lokasi, pasukan rondaan kita mendapati terdapat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju dengan cubaan berpatah balik ke perairan Indonesia sebaik menyedari kehadiran bot APMM.

“Bot dinaiki suspek berjaya ditahan ketika aksi kejar buru selama setengah jam pada kedudukan 7.6 batu nautika barat Tanjung Sepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Haris berkata bot yang ditahan itu turut disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan berdasarkan kapasiti muatan yang besar serta keupayaan enjin bot tersebut yang mampu memecut pada kelajuan 52 knot.

“Kesemua suspek termasuk bot terbabit dibawa ke jeti APMM Negeri Sembilan dan Melaka untuk tindakan lanjut dan kesemua suspek disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya, APMM sentiasa memandang serius usaha membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti salah laku jenayah serta kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang