Siakap Keli
Gambar: Bernama

Astral Asia Pelbagaikan Perniagaan Dalam e-dagang

KUALA LUMPUR, 20 Okt  — Astral Asia Bhd (AAB) telah mencadangkan untuk mempelbagaikan perniagaan terasnya untuk terlibat dalam e-dagang dan aktiviti berkaitan dengan jumlah pelaburan awal yang dianggarkan berjumlah RM500,000.

AAB berkata pelaburan bernilai RM500,000 itu akan digunakan untuk penyediaan laman web, peralatan penyimpanan dan lain-lain, kos inventori serta kos pemasaran seperti iklan digital, pengurusan media sosial.

“Syarikat berhasrat untuk membiayai anggaran komitmen kewangan itu melalui gabungan dana yang dihasilkan secara dalaman dan pinjaman bank,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata kepelbagaian yang dicadangkan itu memberi peluang kepada syarikat itu untuk menceburkan diri dalam perniagaan e-dagang dan mempelbagaikan asas pendapatannya menerusi aliran  pendapatan tambahan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan sedia ada.

“Ahli Lembaga berpendapat bahawa kepelbagaian yang dicadangkan itu akan menambah nilai dan memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat serta meningkatkan nilai bagi para pemegang sahamnya,” katanya.

AAB berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan perubahan besar dalam keadaan perniagaan dan juga mengubah tabiat harian dan corak penggunaan pengguna yang mengakibatkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan dalam talian di pelbagai segmen perniagaan.

“Lebih ramai pengguna beralih pembelian mereka secara dalam talian dan hasilnya, perniagaan e-dagang dijangka mengalami pertumbuhan yang cukup besar,” katanya.

Ia berkata kepelbagaian yang dicadangkan akan berlaku serta merta setelah mendapat persetujuan daripada pemegang saham syarikat pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan kelak.

AAB berkata Pengarah unit milik penuhnya, Clean Link dan Tasja Development Sdn Bhd, Ray Lim Kuan Hwang telah dikenal pasti sebagai kakitangan pengurusan yang utama untuk memimpin dan mengawasi operasi yang berkaitan dengan perniagaan e-dagang kumpulan dan aktiviti lain yang berkaitan.

“Lim terlibat dalam inovasi dan operasi perniagaan baharu dan sehingga kini, beliau telah mendirikan dan mengendalikan lebih daripada lima usaha niaga perniagaan baharu di luar syarikat,” katanya.

Sementara itu, AAB berkata pendapatannya menurun dalam tahun kewangan beberapa tahun lepas disebabkan kebanyakannya oleh penurunan harga komoditi minyak sawit mentah (MSM) dan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang lebih rendah.

“Pihak pengurusan menjangkakan kelembapan akan berlaku dalam perniagaan perladangan syarikat akan berpanjangan kerana permintaan global untuk minyak sawit diunjurkan menurun disebabkan oleh jangkaan ekonomi global yang lebih lemah pada tahun 2020. Harga komoditi MSM juga dijangka tidak stabil pada 2020,” katanya.

AAB terlibat dalam operasi ladang kelapa sawit, pegangan dan pembangunan pelaburan, kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right