Siakap Keli

Ilham Masjid Nabawi Ceriakan Surau Pos Balar

Wartawan Bernama, Shanika Abdullatib baru-baru ini menyertai misi Team X4 Adventures ke Perkampungan Orang Asli Temiar, Gua Musang, Kelantan. Ikuti kisah bakti masyarakat mereka membaik pulih Surai Pos Balar di perkampungan tersebut.

GUA MUSANG (Bernama) — Perjalanan melalui laluan balak sejauh 60 kilometer sememangnya mencabar, ditambah beberapa adegan ‘drama’ kenderaan pacuan empat roda yang tersangkut akibat lubuk berlumpur, dan hujan lebat pada dua jam terakhir perjalanan.

Akhirnya, sampai juga kami ke destinasi yang dituju iaitu Perkampungan Orang Asli Temiar di Gua Musang. Kelihatan susuk bangunan berwarna hijau lumut dan kuning. Papan tanda – Surau Pos Balar.

Papan tanda nama surau dilekatkan pada bumbung berwarna hijau berlapikkan anyaman buluh, jelas tampak pudar dan kusam.

Kawasan sekeliling surau berpagar jaring dawai hijau yang dilapangi rumput dan lopak air serta selut akibat hujan lebat malam-malam sebelumnya, menambahkan lagi suram bangunan yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli dari kaum Temiar yang beragama Islam, beribadat serta menimba ilmu agama.

Surau yang dibina ada tahun 2005 itulah yang menjadi fokus kedatangan Team X4 Adventures yang turut sertai Datuk Azlam Shah Alias, selaku penasihat projek.

SURAU BERTUKAR WAJAH

Terdapat dua pasukan Team X4 Adventures yang berganding bahu untuk menjayakan projek ini, Satu pasukan tiba pada 20 Sept dan satu lagi pada 24 Sept.

Semua kerja yang perlu dibuat sudah diatur, dimulakan pada 20 Sept. Bukan sahaja memberi warna baru tetapi juga membaik pulih tandas serta tempat mengambil wuduk, kerja-kerja pendawaian dan kerja-kerja lain yang perlu untuk memberi ‘nafas baru’ kepada Surau Pos Balar.

Terdapat sekitar 300 orang Asli Temiar di perkampungan itu yang sudah memeluk agama Islam.

Dalam masa dua hari sahaja, surau setingkat yang boleh memuatkan 50 orang untuk solat berjemaah itu bertukar wajah apabila diberikan cat serta hiasan dalaman baharu.

Pada malam 27 Sept, solat maghrib berjemaah sudah boleh diadakan. Turut serta adalah ahli kumpulan sukarelawan yang masih berada di perkampungan tersebut.

Sudah pasti, insan yang paling gembira dengan perubahan Surau Pos Balar adalah Ustaz Alwi Ismail. Berusia 37 tahun, mualim itu menabur bakti mengajar agama Islam di perkampungan Orang Asli Temiar itu sejak 10 tahun lalu.

Di surau itulah beliau gigih mengajar anak-anak Orang Asli Temiar yang sudah memeluk agama Islam. Surau itu bagaikan lubuk pencarian ilmu agama Islam mereka.

HASIL KERJA SEMINGGU

“Alhamdulilah, memang sangat seronok surau ini kini berwajah ceria. Langsung tak sangka semua kerja dilakukan dalam tempoh kurang dari seminggu.

“Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, kekurangan alatan, tenaga kerja yang terhad, saya sangat terharu semua ini dapat dilakukan. Satu kegembiraan kepada penduduk, terutama anak Orang Asli di sini,” kata Alwi kepada Bernama.

Beliau bersama tiga orang mualim lain  yang mengajar di surau berkenaan dapat melihat perubahan minat masyarakat Orang Asli Temiar terhadap agama Islam, malah jumlah mereka semakin bertambah saban tahun.

Setakat ini, hampir 300 daripada 1,200 orang penduduk di perkampungan itu memeluk agama Islam.

Alwi berharap keceriaan surau hasil sumbangan orang ramai dan kerja keras sukarelawan yang datang membantu dapat mencambahkan lagi minat mereka terhadap agama Islam.

Keterujaan kanak-kanak Orang Asli itu jelas terzahir apabila mereka tidak menunggu lama untuk datang dan bersolat dan mengaji Al-Quran di surau sebaik selesai kerja-kerja membaik-pulih surau selesai.

Malah pada malam itu juga, mersik suara anak-anak Orang Asli dari pelbagai usia yang membaca Muqaddam baharu yang disumbangkan. Begitu lunak kedengaran bacaan mereka dengan dibimbing Ustaz mereka.

KUASA DERMA PERIBADI

Apa yang pasti, semua sumbangan hasil kutipan derma peribadi yang berupa papan rehal, telekung dan kain pelikat kanak-kanak serta papan tulis nyata menghadirkan senyum lebar di bibir jemaah comel yang hadir pada malam tersebut.

Berkongsi selanjutnya perkembangan pembelajaran agama di Surau Pos Balar,  Alwi menjelaskan kelas fardhu ain adalah aktiviti pembelajaran utama dengan kelas diadakan setiap malam selepas solat Maghrib.

“Kita ajar dan titi beratkan tentang kebersihan sebab ia adalah perkara asas dalam agama. Alhamdulilah, maklum balas yang diberikan sangat bagus walaupun cabarannya sangat besar untuk menyuruh serta menasihati mereka ini pada mulanya.

“Kaedah paling terbaik yang saya gunakan adalah memberi dan menjadi contoh kepada mereka kerana ini lebih mudah difahami,” katanya, sambil menambah beliau menggunakan bahasa kaum Temiar agar penyampaiannya lebih berkesan ketika mengajar.

Sementara itu, penasihat projek Datuk Azlam Shah Alias berkata, projek menceriakan surau tersebut timbul secara tidak langsung ketika komuniti Team X4 Adventures datang ke perkampungan itu pada Ogos lepas bagi menyempurnakan misi membina pusat pembelajaran di luar kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang terletak bersebelahan surau tersebut.

Menurut beliau, selepas melihat keadaan surau yang agak suram, ditambah dengan keadaan tandas yang tidak selesa serta beberapa kemudahan yang perlu dibaiki, mereka terpanggil untuk melakukan sesuatu.

ILHAM DARI MASJID NABAWI

Dengan sikap murah hati masyarakat Malaysia yang cakna dalam menghulurkan sumbangan peribadi seperti wang ringgit, keringat, idea dan kemahiran tanpa mengira latar belakang, misi membaik pulih dan menceriakan Surau Pos Balar pun digerakkan.

“Selepas berbincang dengan Ustaz Alwi, kami kembali semula ke sini bersama 23 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran. Ada pakar perubatan, juruterbang, jurutera dan pakar pemanduan laluan balak. Alhamdulillah. Inilah hasilnya,” katanya.

Terdapat dua pasukan X4 Adventures yang terlibat dalam projek ini iaitu pasukan pertama tiba pada 20 Sept dan yang kedua, sampai pada 24 Sept.

Azlam yang juga Pengerusi, MR. D.I.Y. Group (M) Berhad menjelaskan, selain dijadikan pusat beribadat dan mengajar agama Islam, surau tersebut turut berfungsi sebagai pusat komuniti, kawasan transit dan ruang melaksanakan pelbagai aktiviti oleh pihak SK Balar.

Dengan kepelbagaian fungsi itu, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada beliau untuk memilih warna merah terracotta dan kuning air (beige) – ilham kepada kemakmuran Masjid Nabawi di Madinah yang sentiasa menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.

“Apa yang indahnya tempat ini adalah masyarakat Orang Asli Temiar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK)  dan pengurusan sekolah memberi kerjasama yang sangat baik, bersikap terbuka malah keinginan untuk mempelajari serta berkongsi idea dengan kami,” jelasnya.

Pun begitu, Azlam berharap, pihak yang berkenaan dapat membantu penduduk membaiki laluan ke perkampungan tersebut memandangkan keadaannya yang sangat mencabar terutama apabila tiba musim tengkujuh.

“Itu adalah saat paling sukar bagi penduduk malah sesiapa yang sahaja yang mahu keluar atau masuk ke perkampungan ini.

“Kita faham membaiki laluan balak tersebut sangat tinggi kos namun sangat berharap jika sekurang-kurangnya laluan itu ditambah baik dari semasa ke semasa,” mohon Azlam, yang menjelaskan SK Balar terletak 90km dari bandar Gua Musang dan perlu melalui jalan balak sejauh 60km dan 30km lagi jalan berturap.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa