Siakap Keli

MITI Benarkan Maksimum 10 Peratus Pekerja Berada Di Pejabat, Dihadkan Dari 10 Pagi – 2 Petang & 3 Hari Seminggu

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi kenyataan media hari ini menjelaskan mengenai sektor ekonomi disaran untuk mempertingkatkan amalan bekerja dari rumah bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan.

Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Bernama TV, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memandang serius gesaan KKM yang menasihati orang ramai untuk terus berada di rumah supaya dapat flatten the curve dalam masa terdekat.

“Jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang,” kata kenyataan tersebut.

Daripada jumlah pekerja di atas, maklum balas yang diterima daripada industri, seramai 776, 135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan untuk menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN.

Pun begitu, MITI juga bersetuju untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat yang dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu.

Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB. Majikan perlu menetapkan garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan pekerja sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan perlu bekerja dari rumah berkuatkuasa 22 Oktober ini.

Arahan tersebut melibatkan pekerja di kawasan zon merah PKPB bagi mengurangkan pergerakan sekaligus memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

BACA: PKPB: Pekerja Sektor Awam, Swasta Bahagian Pengurusan & Pengawasan Di Zon Merah Diarah Bekerja Dari Rumah Berkuat Kuasa 22 Oktober

Sumber: Bernama TV

Sofea

There's always another side to every story