Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Operasi Hospital Medan Malaysia Di Cox’s Bazar Ditamatkan, Fokus Khidmat Bantu Negara Tangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Hospital Medan Malaysia (HMM) yang beroperasi di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh sejak November 2017 lalu sudah ditamatkan operasi.

Kementerian Pertahanan menerusi satu kenyataan berkata, ia berikutan mahu menfokuskan bantuan untuk negara dalam menghadapi wabak COVID-19 kini.

“Kepulangan petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke tanah air membolehkan pengoperasian penuh Hospital Angkatan Tentera (HAT) di seluruh negara.

“Pada masa yang sama, mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Difahamkan, penamatan operasi itu dijalankan lebih awal iaitu tahun ini berbanding mandat operasi asalnya yang dijadualkan sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Dalam pada itu, penubuhan hospital tersebut telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar operasi itu tidak menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Bangladesh serta imej negara.

“Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia amat prihatin dengan krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan dalam mengetengahkan isu Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa.

“(Ia) termasuklah melalui platform dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang berhubung isu ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Mengimbas kembali, HMM di kem tersebut dibina bertujuan sebagai misi bantuan kemanusiaan terhadap pelarian Rohingya yang terjejas akibat konflik di Rakhine, Myanmar.

Pengoperasiannya dijalankan secara bergiliran dengan kekuatan 56 petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 pegawai ATM termasuk lapan pakar perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta enam jururawat awam.

Difahamkan, sebanyak lima pasukan perubatan telah dihantar ATM untuk bertugas di hospital berkenaan setakat Mac tahun ini.

Walaupun terletak di luar lokasi kem, HMM tetap menjadi tumpuan pelarian kerana ia adalah satu-satunya hospital medan yang menyediakan perkhidmatan (kesihatan) Tahap 3 ketika itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, X-ray dan rawatan-rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Kemampuan HMM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan sebegitu telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap 3 yang terbaik, terlengkap serta paling dipercayai selain turut menjadi hospital rujukan di daerah berkenaan.

Sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'