Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

Guna Logo Halal Tanpa Kebenaran, Kotor, Kilang Kicap Diarah Tutup

BUKIT MERTAJAM, 22 Okt (Bernama) — Sebuah kilang kicap yang terletak di Kuala Mengkuang telah diarahkan tutup, dalam sebuah Ops Sepadu hari ini setelah didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang Mohd Wazir Khalid berkata, operasi itu dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemeriksaan kebersihan di premis tersebut.

“Hasil serbuan mendapati aduan adalah positif. Kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan besar iaitu premis perumahan dijadikan tempat pemprosesan soya (kilang), struktur bangunan yang tidak selamat, penyimpanan bahan-bahan makanan dan tong-tong  kicap yang tidak bersih, perkakas berkulat dan penemuan najis tikus serta pembiakan jentik-jentik.

“Kita juga mendapati logo Halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), digunakan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kita telah selidik dan mendapati mereka tiada kelulusan, jadi kita akan panjangkan hal ini kepada unit yang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan di sini hari ini.

Operasi hari ini telah dianggotai oleh 12 orang pegawai daripada JKN Pulau Pinang, lima pegawai daripada KPDNHEP dan dua pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Antara kesalahan lain yang didapati ialah, pemilik premis telah menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid, sistem pendawaian elektrik juga didapati tidak stabil dan dikhuatiri mampu mengakibatkan litar pintas.

Mohd Wazir berkata, penutupan premis maksimum 14 hari itu dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Sebanyak dua notis telah dkeluarkan dengan nilai kompaun mencecah RM5,500.

“Satu lagi kompaun telah dikeluarkan oleh KPDNHEP atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, kerana menggunakan logo Halal tanpa kebenaran. Kes ini akan dilanjutkan ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemilik premis supaya sentiasa menjaga tahap kebersihan premis, agar tidak  mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Katanya biarpun majoriti kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sibuk menangani kes COVID-19, namun bahagian penguatkuasaan juga giat menjalankan pemeriksaan di premis-premis, supaya kesihatan dan keselamatan pengguna terjaga.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'