Siakap Keli

Kenapa Bahagian Pengurusan Sahaja Bekerja Di Rumah & Bukan Yang Lain? Ini Jawapan Menteri

PUTRAJAYA, 22 Okt – Arahan bekerja dari rumah yang hanya diarahkan kepada pekerja pengurusan adalah untuk mengurangkan pergerakan, umum  Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bayangkan, satu juta yang boleh bekerja dari rumah tidak ke pejabat. Satu juta pergerakan dan satu juta mereka boleh berinteraksi antara satu sama lain juga.

“Jadi bila kita kurangkan pergerakan, mungkin lebih berjaya untuk memutuskan rantaian COVID-19 sebab semakin kurang orang boleh berinteraksi satu sama lain,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai arahan bekerja dari rumah yang dilihat hanya diberikan kepada bahagian tertentu dan bukan semua.

Dalam pada itu, hasil keberkesanan bekerja dari rumah atas sebab mengurangkan pergerakan tapi dalam masa sama, tempat-tempat awam masih lagi dibuka juga turut dipersoalkan.

“Betul, ada pasar malam dibuka, pusat beli-belah dibuka dan sebagainya.

“Ianya masih lagi tertakluk kepada kita sebagai individu sama ada kita ingin gunakan kebebasan tersebut tanpa memikirkan kesihatan kita ataupun tidak.

“Tapi kita tidak menutup sektor ekonomi kerana rakyat terpaksa hidup bergantung pada setiap pekerja yang mereka ada,” katanya lagi.

Berbalik kepada isu utama, arahan bekerja dari rumah yang tidak diberikan untuk semua bahagian perkhidmatan adalah disebabkan keperluan-keperluan tertentu.

Jelasnya, bagi bahagian pengurusan, tugasan mereka boleh dilakukan di rumah terus, manakala bahagian lain seperti kaunter perkhidmatan pula perlu bekerja di pejabat.

“Sebab itulah kita benarkan sebahagian bekerja di rumah, tetapi sebahagian masih diperlukan bekerja di pejabat,” tambahnya.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'