Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Kes Rogol Kanak-kanak 12 Tahun: Lima Lelaki Mengaku Tidak Bersalah

KUALA TERENGGANU, 22 Okt (Bernama) — Lima lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, pada September.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 23, 21 dan 20 tahun dan dua lagi tertuduh yang merupakan remaja di bawah umur, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atas mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa telah melakukan rogol berkumpulan terhadap mangsa pada 29 Sept lepas di dalam ladang sawit di Felda Kerteh 5, di Ketengah Jaya, Dungun, antara pukul 9 malam hingga 11 malam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan akibat kejadian itu, mangsa menghadapi trauma dan tekanan sehingga berasa takut untuk ke sekolah.

Selain itu, pihak pendakwaan turut memberikan alasan faktor keselamatan mangsa, kerana keluarga mangsa ada mengadu mereka diganggu dan menerima ugutan daripada keluarga tertuduh selepas kejadian tersebut, serta kes ini juga telah menjadi tular di laman sosial.

Setelah mempertimbangkan rayuan dari pihak tertuduh, Hakim Nooriah Osman membenarkan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan RM18,000 setiap seorang melalui seorang penjamin dan menetapkan 24 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Nooriah turut menetapkan syarat iaitu tertuduh wajib melaporkan diri di Balai Polis Ketengah Jaya setiap 1 dan 15 hari bulan sehingga kes selesai dan mereka mahupun keluarga mereka dilarang sama sekali menganggu mangsa atau ahli keluarganya dan saksi perbicaraan sepanjang prosiding.

Tertuduh berusia 20 tahun dan dua lagi tertuduh di bawah umur diwakili peguam Nik Mohd Radhia Nik Mohd Abd Ghani daripada tetuan Alda, Shukri, Khairi & Associates, manakala tertuduh berusia 23 tahun diwakili Masliela Ismail daripada tetuan Ghazali Ismail & Co, sementara tertuduh berusia 21 tahun tidak diwakili peguam.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'