Siakap Keli
Gambar: NaTHNaC

KKM Sahkan Satu Kes Baru Jangkitan Rabies Di Sarawak, Mangsa Dilaporkan Meninggal Dunia 18 Oktober Lepas

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan hari ini memaklumkan bahawa terdapat satu kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan.

Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah empat orang pada tahun 2020. Kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes.

Mangsa terbaharu adalah seorang wanita berumur 34 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima (5) hari sebelum dimasukkan ke wad. Kes ini telah meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis. Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober 2020. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Tambah kenyataan itu, siasatan mendapati kawasan kediamannya berdekatan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran. Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghunjung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies. Haiwan ini telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ianya telah menggigit seorang lagi individu. Walau bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.

Sumber: Kp Kesihatan

Sofea

There's always another side to every story