Selalunya kita dengar, mak ayah yang banyak berkorban tenaga dan wang ringgit demi membesarkan anak-anak tercinta.
Lebih perit lagi jika ia melibatkan keluarga miskin yang ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Namun, ada juga kisah sebaliknya di mana si anak yang masih belum mengenal erti perit jerih dunia terpaksa berkorban untuk menjaga mak ayah mereka.
Seorang pendidik, Nurulhuda Baharin baru-baru ini berkongsi kisah seorang anak muridnya yang amat menyayat hati.
Mari ikuti kisah ini.

Selesai memberi salam dan berdoa,
“Ahmad (bukan nama sebenar) kenapa tak datang kelmarin dan semalam? Jaga adik-adik ke?”
Digeleng kepalanya. Ahmad sebelum ini kita telah mendapat makluman dia tidak hadir sekolah bukan kerana ponteng tapi menjaga adik-adiknya selepas ayahnya kehilangan kerja semasa PKP dan kini menjadi buruh membuat tar jalan.
Ibunya terpaksa bekerja membantu pendapatan keluarga.
Hmm pelik. “Kenapa pula tak datang sekolah,” getus hatiku.
“Jadi kenapa tak datang sekolah?” soalku lagi.
“Ayah sakit, saya jaga ayah. Urut dada ayah,” balasnya dengan suara yang agak perlahan.
Allahuakbar. Terdiam seketika sambil mencari idea membalas bicara.
“Jadi ayah tak kerja la ya?”
“Hmm..tak kerja,” jawabnya.
Ya Rabbi. Berat ujian buat mereka yang bergaji hari. Bekerja adalah duit. Jika cuti sakit?
Sambil mencari idea untuk membantu, terpandang pula baju uniform Ko-kurikulum (Ko-ku)yang dipakai. Luluhnya hati.
Baju yang agak lusuh dan berjahit. Mungkin dah terkoyak barangkali.
Pantas tangan ini menaip mesej pada rakan kaunselor, rakan guru yang rajin membantu.

10 minit kemudian
“Akak, saya sponsor baju Ko-ku Ahmad ya,”
“Kak Huda, weekend ni saya boleh tolong belikan barang keperluan untuk keluarga Ahmad,”
Ku tahan air mata dengan lagak muka tegas dalam kelas. Terima kasih semua yang prihatin.
Saat kita bergembira menanti gaji, ada yang mengais kepingan not yang tersisa bekal buat anak-anak yang sedang membesar.
Muhasabah buat diriku dengan pesanan pensyarah di universiti 11 tahun yang lalu,
“Bila dapat gaji, asingkan sedikit untuk anak murid. Tampung balik jika kita terlambat masuk kelas, terkurang masa mengajar, ter apa yang kurang. Apa yang penting cari keberkatan dalam bekerja,”
#kongsirezeki
Ahmad pelajar yang baik
Memandangkan kisah ini boleh menyuntik kesedaran, Siakap Keli mengambil kesempatan bertanyakan beberapa perkara tentang Ahmad kepada Cikgu Nurulhuda.
Menurut Cikgu Nurul,walaupun taraf kehidupannya ‘berbeza’ dengan kawan-kawannya yang lain, namun Ahmad diakui seorang murid yang bagus.
“(Dia) jenis pelajar yang baik.
“Saya garang macam mana pun diam je. Bukan kategori pelajar yang ada masalah disiplin,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Dalam pada itu, selain memiliki akhlak yang ‘cantik’, Ahmad juga dikatakan menjaga pergaulan dengan rakan-rakan kelasnya.
“Dia jenis yang easy going, suka senyum.
“Dalam kelas dengan kawan-kawan pun ok. Mungkin jenis tak banyak cakap,” tambahnya lagi.
Bantuan tiba, baju baru untuk Ahmad
Semalam, cikgu Nurul ada umumkan kemas kini tentang Ahmad.
Alhamdulillah, baju baru yang mahu dihadiahkan oleh rakan gurunya sudah pun sampai ke tangan murid itu. Mari ikuti kisah ini.

Masya-Allah, sampai sekolah terletak elok di atas meha sebungkus kiriman daripada seorang rakan guru.
“Akak, ni baju Koku untuk Ahmad ya. Saiz agak besar sikit,” pesan sahabat yang selalu memberi bantuan.
Allah. Walaupun saya hanyalah guru Pendidikan Islam kelas Ahmad tapi terharu sebak di dada bila ramai yang cakna nasib Ahmad dan rakan-rakan senasib dengannya.
Tersenyum manis Ahmad bila terima bungkusan merah. Pesan saya, “Ahad depan jumpa Cikgu N dan ucapkan terima kasih. Insya-Allah hujung minggu ini ustazah nak jumpa mak awak ye,”
Ahmad mengangguk sambil menundukkan pandangannya. Mungkin terkejut menerima baju baharu. Rezeki buat Ahmad.
Daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
“Saling memberikan hadiah di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang,”
Benarlah hadis Nabi Muhammad SAW, pesanan terbaik dan pedoman buat kita umat akhir zaman.
Terima kasih buat semua yang menyumbang. Insya-Allah saya cuba membalas satu-persatu mesej tuan/puan.
Ala kulli hal, sama-sama kita ikhlaskan niat. Moga sedekah kita menjadi pemberat Mizan di akhirat kelak.
Salam perjuangan.
Selesai memberi salam dan berdoa, " Ahmad ( bukan nama sebenar) kenapa tak datang kelmarin dan semalam? Jaga adik-adik…
Posted by Nurulhuda Baharin on Wednesday, October 21, 2020
MasyaAllah, sampai sekolah terletak elok di atas meja sebungkus kiriman dari seorang rakan guru." Akak, ni baju koko…
Posted by Nurulhuda Baharin on Thursday, October 22, 2020
Sumber: Nurulhuda Baharin