Gambar: Bernama

Beberapa Orang Terbunuh Dalam Keganasan Pasca-Pilihan Raya Guinea

ANKARA, 22 Okt  — Beberapa individu, termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan berikutan pengumuman keputusan sementara pemilihan presiden Guinea, lapor agensi Anadolu memetik laporan media tempatan pada Khamis.

Keputusan itu menunjukkan Presiden yang berkuasa, Alpha Conde mendahului, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional (CENI).

Mamadou Camara, jurucakap polis, berkata seorang polis maut selepas diserang penunjuk perasaan di ibu kota Conakry.

“Selain dipukul oleh perusuh, kepala mangsa turut dihentak dengan batu,” katanya.

Sekurang-kurangnya tiga maut ditembak di kawasan T8 di Conakry dan dua lagi di wilayah Wanindara di ibu negara, sementara beberapa yang lain mengalami kecederaan, menurut laman web africaguinee.com.

Dalam sebuah kenyataan, pemerintah mengatakan keganasan berpunca oleh “pengisytiharan kemenangan ” pemimpin Union of Democratic Forces of Guinea (UFDG) Cellou Dalein Diallo pada Isnin malam.

Pemerintah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendesak semua warga dan parti politik “bertenang.”

Tuntutan kemenangan Diallo pada pilihan raya presiden Ahad segera ditolak oleh pemerintah.

Calon pembangkang mengecam keganasan yang berterusan setelah pasukan keselamatan menyerbu pejabat UFDG pada Rabu.

Diallo mendakwa serangan itu bertujuan menghancurkan bukti penipuan pilihan raya.

Pada malam menjelang pemilihan, Ketua PBB Antonio Guterres meminta “semua pemegang amanah nasional untuk memastikan pemilihan dilakukan secara menyeluruh dan aman.”

Beliau juga meminta pasukan keselamatan bertindak dengan penuh rasa tanggungjawab untuk mengawal keadaan dan mendesak pemimpin dan parti politik menyelesaikan apa juga perselisihan yang mungkin timbul berdasarkan lunas undang-undang.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Aqmal Ezany

Tambah komen