Siakap Keli
Gambar: Kayra Harun

Kisah Jiro, Anak Beruang Ditinggalkan Mak Ayah, Dibesarkan Oleh Manusia Bagai ‘Anak Angkat’ Sebelum Diserahkan Kepada Zoo

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tanggungjawab menjaga orang ramai dari bahaya membuatkan anggota polis dan tentera perlu meronda ke serata kawasan hinggalah ke ceruk hutan.

Oleh itu, pertembungan dengan haiwan liar seperti harimau dan beruang bukanlah perkara yang asing lagi bagi mereka.

Baru-baru ini, seorang wanita, Kayra Harun berkongsi kisah anggota polis (abang iparnya) yang memelihara seekor anak beruang yang ditinggalkan ibunya.

Berlaku pada 1970-an, kisah ini bermula apabila orang kampung mengadu kewujudan haiwan liar itu berhampiran perumahan mereka. Susulan itu, sepasukan anggota polis ditugaskan untuk mencari dan memburu haiwan liar itu demi keselamatan penduduk kampung.

Hasil operasi, mereka telah menemui keluarga beruang berkenaan dan melepaskan tembakan untuk menghalaunya lari jauh ke dalam hutan. Pun begitu, seekor anak beruang yang sedang nyenyak tidur telah ditinggalkan, menimbulkan rasa simpati dan kasihan dalam hati pasukan polis berkenaan yang kemudiannya mengambilnya sebagai ‘anak angkat’.

Tanpa membuang masa, mari kita ikuti kisah anak beruang bernama Jiro yang dikongsikan dalam group Malaysiaku Dulu-dulu ini.

Assalamualaikum.

Gambar-gambar lama memang banyak, setiap gambar ada cerita. Tapi tak boleh nak pos sembarangan. Sensitiviti terpaksa diutamakan.

Jadi, sebab saya nak juga berkongsi cerita dalam group ni, saya pilih untuk menyingkap memori keluarga besar kami, keluarga Allahyarham Harun bin Yahaya (lebih dikenali sebagai Harun Merdeka) memelihara seekor beruang madu di kediaman kami di Ulu Bernam, Tanjong Malim dari tahun 1981 – 1987.

Kisah bermula di Gua Musang, Kelantan di hujung-hujung tahun 70-an…

Waktu itu abang ipar saya bertugas di Balai Polis, Gua Musang. Pihak balai mendapat aduan dari penduduk-penduduk orang Asli di kawasan pedalaman, mereka mengesyaki ada keluarga beruang yang tinggal berdekatan tempat tinggal mereka berdasarkan kesan-kesan tapak kaki dan petunjuk-petunjuk lain yang dapat dikesan.

Maklumlah orang Asli, pengetahuan tentang hutan ni memang luas. Jalan-jalan dalam hutan ni dah macam lebuhraya untuk mereka, kesan tapak kaki atas tanah, kacang ajer untuk mereka tahu milik haiwan mana, pendek kata memang mereka bijak bab-bab macam ni!

Abang ipar saya pun diarahkan mengetuai operasi mengesan dan memburu keluarga beruang ni sampai dapat. “Ops Beruang” pun bermula.

Pasukan polis pun bergerak ke dalam hutan, cari punya cari punya cari dengan menempuh macam-macam rintangan dan halangan, pasukan polis dah masuk jauh ke dalam hutan. Pemburuan diteruskan sehinggalah sampai satu point target dikesan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Berbaloi penat lelah merentasi hutan. Akhirnya, pasukan polis berjaya menjumpai keluarga beruang terdiri dari ibu, bapak, dan 2 ekor anak. Tujuan asalnya, jika keluarga beruang ni berjaya ditemui, mereka mesti ditembak demi menjaga keselamatan penduduk-penduduk berhampiran.

Namun, dari lensa teropong didapati ibu beruang sedang menyusukan anaknya, manakala seekor beruang yang lebih besar (dah tentu itu bapak beruang) dan seekor lagi anaknya sedang tidur.

Melihat situasi begini, mampukah kita menembak mati keempat-empatnya? Tentu sekali tidak.

Lalu, abang ipar saya arahkan pasukannya tembak ke udara supaya mereka lari jauh lagi ke dalam hutan, jauh dari kawasan penempatan orang Asli agar keselamatan mereka tidak terancam.

Sebaik tembakan dilepaskan ke udara, ibu beruang bingkas bangun dan lari bersama anak yang sedang menyusu dalam kendongannya. Begitu jugak dengan bapak beruang yang tidur tadi, terus terjaga dan lari sepantasnya (Adoii!  Pentingkan dirinya la bapak beruang ni)

Siapa yang tinggal? Seekor lagi anak beruang. Bila pasukan polis datang lebih dekat, kelihatan anak beruang ni tidur dengan lena sekali. Mesti comel, kan? Matanya terkatup rapat bukan saja sebab dia sedang tidur tapi dari pengamatan polis, dia masih baru lagi dilahirkan ke dunia. Padanlah si comel ni tak daya sama-sama berlari untuk menyelamatkan diri.

Apa pilihan yang ada pada masa tu?

Takkan nak ditinggalkan begitu saja. Takkan pulak nak ditembak mati. Takkan nak dicampak ke sungai. Takkan nak dimasak buat kenduri..

Allah tiupkan kelembutan dihati manusia bila Dia menghendakinya. Lalu, abang ipar saya terus mendukung anak beruang yang masih tidur itu dan bawak balik ke kuarters. Dia sanggup bela.

Bermulalah kehidupan anak beruang yang diberi nama Jiro dalam dunia manusia. Langsung tak tau siapa dirinya, sebab apabila buka mata, yang terlihat hanyalah manusia-manusia yang sentiasa membelainya dengan penuh kasih-sayang.

Disuapkan botol susu ke mulutnya, dimandikan, disyampu bulunya supaya cantik, hitam berkilat dan rapi, disediakan tempat tidur yang selesa dalam rumah dan sentiasa bermain dan bergurau dengannya.

Alhamdulillah…. semuanya berlaku dengan izin Allah.

Jiro, melalui hari-hari yang bahagia dan menceriakan bersama orang-orang yang sangat mengasihinya termasuk abang saya sendiri. Ada harinya dia dikendong ke balai. Dikendong balik ke rumah. Dibawa naik jeep polis merata-rata. Dah sama macam kisah tarzan.

Gambar ni, gambar arwah abang saya, Khirruddin bin Harun di kuarters polis Gua Musang sedang bermain dengan Jiro.

Gambar: Kayra Harun

Kenapa namanya Jiro?

Beruang kan ada bentuk bulatan seperti O atau “zero” pada leher yang membawa ke dada? Jadi, nampak Jiro tu paling sesuai dengan fizikalnya. Lagipun, kacak kan nama tu? Sekacak Jiro kesayangan kami. Oh lupa nak bagitahu, Jiro adalah beruang jantan.

Semakin hari berlalu, dari baby Jiro dah semakin membesar, dalam rumah bukan tempat yang sesuai lagi. Dengan bantuan kontraktor, usaha menyediakan kandang yang sesuai sebagai tempat tinggal yang lebih selesa untuk Jiro terus dibina.

Apalagi, namapun masih “budak”, Jiro seronok bermain dalam rumah barunya. Tayar lori adalah permainan dan juga teman sejati. Tayar digantung dengan tali. Disitulah Jiro berbuai-buai.

Selain itu, tempat tidur Jiro jugak disediakan. Tapi Jiro tak terus menerus 24 jam sehari tinggal dalam kandang, sebab dia akan dilepaskan untuk bermain-main diluar kandang, disekitar kawasan rumah.

Jika dikurung dah jadi satu penganiayaan ke atas haiwan. Fitrah hidupnya bukan untuk dikurung, pada waktu yang sama keselamatan orang lain di kejiranan kuarters perlu diambil kira.

Oleh kerana Jiro adalah haiwan yang dilindungi oleh Jabatan Perhilitan, memelihara Jiro diwajibkan pemiliknya mengambil lesen yang diluluskan oleh Perhilitan.

Kalau tak silap saya, lesen Jabatan Perhilitan pada masa itu adalah $35 setahun dan kami perbaharui setiap tahun tanpa gagal.

Selepas berhenti menyusu botol, pemakanan Jiro ditukar kepada nasi (dimasak seperti biasa), kemudian ditambah air panas dan susu pekat manis. Macam manusia, Jiro makan 3 kali sehari. Pagi, tengahari dan petang.

Walaupun Jiro adalah ‘honey bear’ atau beruang madu yang jenis tangkap ikan di sungai dengan tangan dan makan terus, tapi oleh kerana habitatnya berbeza, Jiro takkan makan makanannya jika ada termasuk tulang ikan.

Mungkin dia bau hanyir. Dia akan tolak periuk dan sanggup berlapar, tak nak makan. Jadi, kalau Jiro menolak periuk, kita tau dia tak suka dan kita terpaksa buat yang baru.

Sepanjang Jiro di Gua Musang, saya cuma bertemu dengannya sekali sahaja. Saat pertama kali bersua, terus rasa sayang.

Antara cerita menarik tentang Jiro sewaktu kecil duduk di kuarters adalah, dia ternampak cermin mata abang ipar saya tertinggal dirumah, dia bawak cermin mata tu ke balai. Hahahaha! Boleh bayangkan tak macam mana anggota polis di balai bertempiaran lari nak selamatkan diri masing-masing?

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Bagusnya Jiro ni, dia takkan kacau atau dekat dengan orang lain yang dia tak kenal. Jauh sekali nak mengganas.

Jiro lebih suka bermain berlari-lari di kawasan kuarters, main kejar-kejar dengan orang-orang yang dia kenal, peluk dari belakang atau depan, dan dia akan jilat-jilat muka abang ipar dan abang saya terutamanya. Itu tanda sayang. Boleh la kita katakan Jiro ni manja, eleh!

Pada tahun 1981, abang ipar saya menerima arahan dipindahkan ke salah sebuah balai di ibukota Kuala Lumpur. Hmmm… Mana nak letak kandang beruang di tengah-tengah bandar? Tentunya tak terlintas langsung difikiran untuk tinggalkan Jiro atau diserahkan kepada orang lain.

Setelah difikirkan masak-masak tentang kaedah dan logistik, keputusan yang diambil adalah memindahkan Jiro dan kandangnya sekali ke rumah kami di Ulu Bernam, Tanjung Malim.

Abah dan Mak menerima keputusan itu dengan senang hati. Tiada rungutan apatah lagi keluhan. Kami semua pun gembira. Oh ya kami ada 10 beradik. 7 perempuan dan 3 lelaki.

Pada ketika itu yang sepenuh masa tinggal di rumah selain mak dan abah adalah kakak (Ting.4), saya (Ting.1), adik perempuan (Darjah 4) dan adik lelaki (6 tahun).

Dengan bantuan Praket, orang Siam, Jiro dibawa pindah naik lori ikut jalan balak lalu Grik (kalau tak salah) ke Ulu Bernam.

Selain Praket, abang ipar dan abang saya serta sepupu kami turut sama dalam misi membawa Jiro pindah ke rumah mak dan abah.

Saya dengar, banyak juga dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh mereka sewaktu dalam perjalanan, termasuk terserempak dengan gajah (saya tak ingat berapa ekor) tapi Alhamdulillah semuanya dapat diatasi dan dipermudahkan.

Akhirnya, suatu pagi yang indah di tahun 1981 (tak ingat tarikh yang tepat, mungkin pertengahan tahun), cuaca yang dingin dan nyaman serta gerimis yang membawa rahmat, Jiro pun sampai di Tg Malim.

Saya masih ingat, ramai yang bekerja keras menurunkan kandang Jiro dari lori ke tapak baru, betul-betul dihadapan rumah kami. Terus simen.

Selamat datang ke keluarga kami, sweetheart.

Ini rumah baru kamu dan kami sayang kamu sangat-sangat.

Bermulalah hari-hari yang baru untuk Jiro, juga hari-hari yang baru buat kami. Jadual pun berubah demi menjaga kebajikan ahli baru dalam keluarga.

Apa yang melucukan ialah beruang itu seakan pintar dan boleh faham bahasa manusia. Bila diminta mengambil periuk, diambilnya periuk. Malah, Jiro juga pandai bergurau dengan mereka sekeluarga.

Hidup Jiro memang bermandikan kasih-sayang. Sebut pasal mandi, kalau arwah abang yang mandikan Jiro, abang masuk sekali dalam kandang. Bukan Jiro jer mandi, dengan dia pun mandi sama. Siap bergumpal-gumpal dengan Jiro.

Dia gosok badan Jiro, Jiro gosok badan dia. Pastu bergusti balik. Patut sekejap aje mandikan Jiro, langsung jadi lama. Memang terpancar kegembiraan di wajah Jiro. Jangan tanya saya bagaimana wajah Jiro tu, tak dapat saya nak terangkan.

Pernah mereka – lelaki-lelaki perkasa ni main kejar-mengejar dengan Jiro sampai dah penat tahap tak boleh bawa bincang. Suruh Jiro masuk kandang, Jiro tak nak masuk. Jadi mereka main taktik kotor. Mereka lari-lari dengan Jiro, terus masuk kandang dengan harapan Jiro akan masuk sekali dalam kandang tu.

Tak semudah itu nak ‘trick’ kan Jiro. Kita lihat siapa yg kena!

Jiro kejar mereka, bila mereka masuk kandang ajer, Jiro selak pintu dari luar! Hahaha lu kena beb! Jiro kat luar, mereka kat dalam.

Cerdik, kan? Tak sangka dia akan buat macam tu. Good job darling.

Bermain kejar-kejar dihalaman rumah dan keliling rumah memang agenda wajib bila jejaka-jejaka gagah perkasa ni berkumpul. Jiro memang perlukan aktiviti luar ni, untuk lebih cergas dan kuat. Kalau tak, tak jantan lah kan.

Teringat saya pada satu insiden. Masa tu dapur rumah kami pakai pintu dibuat dari papan lapis je. Bila Jiro hidu-hidu sampai ke dapur, tunduk punya tunduk, badan dia langgar pintu. Ghakkkkk!!! Terus retak pintu tu.

Kami yang tengah masak kat dapur, terkejut. Ingatkan nak roboh la pintu tu. Kot-kot Jiro pun tekejut. Tapi kebanyakan masa, Jiro ni cool.

Suatu hari ada saudara datang bawak durian nak bagi Jiro (dalam hati kami yang hantu durian ni, dari bagi Jiro, baik bagi kat kami).

Saudara tu pun jerit, “Jiro, bak peghiok”. Laju ajer dia capai periuk dan letak depan orang tu.

Orang tu bukakan durian masukkan dalam periuk. Punyalah beriya Jiro makan sampai habis semuanya. Wahhh! Hantu durian jugak rupanya. Yang kami, telan air liur. Mujur Jiro tak pening atau pitam makan durian 3 bijik sampai wassalamu. Kalau tak, jenuh.

Kami bagi Jiro makan macam-macam, cekodok pisang pun Jiro telan. Itu memang menu kesukaan kami. Tapi nasi dan susu adalah hidangan utama tiga kali setiap hari.

Selain itu kongsi Khayra, Jiro juga dikatakan membesar dengan sihat dan lebih besar berbanding beruang lain yang seusia dengannya.

Hari berganti, musim berlalu Jiro semakin membesar bagai johan. Walaupun tak minum Milo tapi Jiro minum susu be’liter-liter’ 1 hari, makan nasi dekat 15 pot sehari, ditambah lagi dengan kasih-sayang yang melimpah-ruah, belaian yang tak pernah terhenti menjadikan badan Jiro lebih besar berbanding beruang-beruang lain yang sebaya dengannya.

Ini diakui oleh kurator Zoo Negara, Ulu Kelang ketika itu, Tumar Said yang kebetulan bersaudara dengan Mak.

Hmmm… Tak sia² jaga Jiro. Seronok dengar bila dia puji Jiro bersih, sihat, besar dan kuat. Dan kekuatan Jiro semakin menyerlah. Usianya antara 7 – 8 tahun. “Tall, dark and handsome”.

Bagaimanapun kongsi Kayra, mereka akhirnya terpaksa menyerahkan Jiro kepada pihak zoo bagi meneruskan hidupnya sesuai dengan perkembangan haiwan berkenaan yang semakin kuat dan memerlukan pasangan untuk berkeluarga. Jiro akhirnya diserahkan kepada sebuah zoo di Ayer Keroh, Melaka.

Anda boleh teruskan bacaan kisah tentang Jiro di sini.

Sumber: Kayra Harun via Malaysiaku Dulu-dulu

Amira

Love yourself.