Siakap Keli
Gambar: Bernama

MBPP Gesa Penganjur Pasar Malam Patuh SOP

GEORGE TOWN, 22 Okt  — Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa semua penganjur pasar malam supaya mematuhi dan mengimplementasi prosedur operasi standard (SOP) ketika menganjurkan pasar malam.

Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata hasil tinjauan yang diadakan di pasar malam Bayan Baru hari ini adalah tidak memuaskan dan dikhuatiri menjadi antara punca penularan wabak COVID-19.

“Kami lihat tadi pengunjung agak ramai dan kami harap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  Mahsuri sebagai penganjur supaya menjaga jarak peniaga dan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di sini hari ini.

Untuk mengurangkan kesesakan, beliau mencadangkan agar penganjur membuat jadual supaya peniaga dapat menjalankan perniagaan secara bergilir. Beliau juga menegur sesetengah peniaga yang tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Yew berkata MBPP sedar akan kesulitan yang dihadapi oleh peniaga, oleh itu pihaknya akan mengusulkan pengecualian pembayaran sewa tapak kepada kesemua 42 pasar malam dan pasar pagi di kawasan pulau. Beliau akan mengusulkan isu berkenaan di Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan pada 18 Nov kelak.

“Kami akan cuba bawa dan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat nanti dan nilai sewaan keseluruhan membabitkan RM8,320 sebulan,” katanya lagi.

Tinjauan mendapati pasar malam itu mempunyai 180 penjaja sepanjang jalan sejauh kira-kira 300 meter.

Pengerusi MPKK Mahsuri, Syed Baharuddin Syed Hashim berkata pihaknya mendapat rayuan daripada peniaga untuk terus menjalankan perniagaan setelah terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Sejak dibenarkan beroperasi semula setelah tamat PKP, memang kami rancang untuk benarkan hanya dua barisan gerai berbanding empat barisan sekarang… Namun ramai peniaga merayu untuk berniaga kerana mereka tiada pekerjaan lain. Kami pernah cuba untuk panjangkan tapak pasar malam namun mendapat tentangan dari penduduk setempat,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right