Siakap Keli
Kredit gambar: Nor Zabetha/Google

Peguam Dedah Wanita Dakwa Merana Kain Tertinggal Dalam Badan Ketika Bersalin Akibat Kecuaian, Tak Dapat Buat Tuntutan Sebab Kes Lebih ‘Had Masa’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kes ‘barang’ tertinggal dalam tubuh badan ketika selepas pembedahan termasuklah bersalin mungkin agak janggal kita dengar.

Namun itulah realiti terpaksa dihadapi seorang individu ini apabila dia merana sakit dua bulan gara-gara kecuaian pihak lain.

Namun, malang sekali dia tidak dapat bertindak atas undang-undang, jauh sekali mahu menyaman pihak bertanggungjawab kerana kesnya sudah ‘expired’.

Benarkah undang-undangnya sebegitu? Mari ikuti perkongsian dan pendedahan lanjutan kes ini oleh peguam, Nor Zabetha di bawah ini.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Kadang-kadang saya kasihan bila menerima kes-kes yang tidak langsung dapat menuntut hak kerana mereka tidak peka undang-undang.

Tadi tengah hari saya mendengar rintihan seorang wanita, katanya berlaku kecuaian perubatan pada dirinya apabila pihak terbabit meninggalkan tuala wanita sewaktu proses melahirkan anaknya yang pertama pada 26/8/2014.

Mujurlah, tidak ada apa-apa. Mujurlah nyawanya masih panjang. Pada awal kecuaian dia tidak sedar. Namun setiap hari terasa perit dan sakit dan ada sesuatu yang tidak kena.

Bayangkan keperitan yang dia alami selama dua (2) bulan apabila tuala sebesar ini tertinggal di dalam badannya.

Sepanjang tempoh berpantang dia mengalami kesakitan, luka masih tidak sembuh-sembuh. Perit dan sakit.

Jadi dia pergi membuat pemeriksaan perubatan di klinik lain dan hasil daripada pemeriksaan ada tali yang keluar daripada kemaluannya.

Gambar: Nor Zabetha

Terkejut saya melihat gambar yang dihantarkan oleh wanita ini. Tuala sebesar ini tinggal dalam badan wanita ini selama dua (2) bulan. Sewaktu dikeluarkan telah pun berbau busuk dan hanyir.

Mujurlah dia ambil langkah segera dan hendak bertindak. Kalau lama lagi bertangguh, entah apa nasibnya.

Dia ada berjumpa dengan peguam dan surat tuntutan dikeluarkan dan kemudian tiada tindakan lanjut oleh peguam.

Jadi dia meminta pandangan  saya untuk haknya dibela dan diperjuangkan setelah sekian lama.

Sehingga hari ini dia masih trauma untuk mengandung kali kedua, takut-takut perkara yang sama berlaku.

Saya katakan kes ini terlalu lama dan telah pun dihalang oleh had masa. Bermakna walaupun ada kes yang ada asas dan kuat untuk menyaman pihak-pihak terlibat yang cuai tetapi malangnya kerana had masa, haknya tidak lagi boleh diteruskan.

Had masa enam tahun

Berdasarkan Seksyen 6 (1) (a), Akta Had Masa 1953, penuntut sebenarnya mempunyai masa selama enam tahun dari tarikh berlakunya kausa tindakan dalam kes melibatkan kontrak atau undang-undang tort.

Undang-undang kontrak rasanya semuanya kalian telah maklum apa kes yang melibatkan kontrak. Biasanya berkenaan perjanjian atau persetujuan.

Saya hendak fokuskan di sini tentang undang-undang tort kerana kes kecuaian perubatan adalah di bawah kategori undang-undang tort.

Undang-undang tort ini kategorinya luas, antara jenis-jenis kes seperti kes saman fitnah, kes-kes tuntutan ganti rugi akibat kecuaian, gangguan seperti gangguan bunyi dan lain-lain, pencerobohan dan lain-lain.

Saya berikan link di ruang komen. Boleh baca jenis-jenis kes tort yang lain, manalah tahu selepas ini anda ingin menuntut di mahkamah.

Jadi dalam kes wanita ini, sepatutnya dia mempunyai enam (6) tahun tempoh had masa untuk memfailkan tindakan di mahkamah iaitu yang dikira dari 26/8/2014 (tarikh kecuaian yang menyebabkan tertinggal tuala wanita).

Tempohnya tamat pada 26/8/2020 atau mungkin dari tarikh kecuaian itu diketahui (bergantung kepada hujah di mahkamah). Pun begitu, beberapa hari lagi masih juga telah dihalang oleh had masa.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Sayangnya, kalaulah awal sedikit. Kalaulah ada yang menasihati. Sekurang-kurangnya dia mendapat keadilan atau dia bakal memulakan kes. Kalah atau menang perkara lain. Yang penting berjuang. Haih!

Berulang kali dia tanya kepada saya, “Puan, memang saya tak boleh dapat hak sayakah? Memang pihak terbabit tidak boleh diberi pengajarankah?”

Katanya dia rasa marah, kesal, tidak puas hati dan masih trauma sehingga ke hari ini.

Tambah pula, tiada permohonan maaf dan tiada usaha daripada mereka untuk menunjukkan keikhlasan mereka dalam menyelesaikan hal ini.

Saya rasa ralat sangat, kalau kes begini. Rasa ralat apabila tindakan tidak boleh diambil kerana mangsa tidak tahu haknya dalam undang-undang.

Di Malaysia ini kita ada undang-undang yang meletakkan had masa kepada sesuatu tindakan.

Kebaikan had masa

Ada munasabahnya undang-undang ini kerana menggalakkan pihak-pihak mengambil tindakan segera dan bayangkan kalau undang-undang membenarkan tuntutan 20-30 tahun dahulu dibuka semula.

Pasti ada lambakan kes. Tambah pula saksi-saksi yang mungkin telah meninggal dunia, bukti yang terhapus dan lain-lain. Hanya menyukarkan proses perbicaraan dan mendapatkan bukti yang kukuh.

Jenis-jenis tindakan popular

Jadi untuk pengetahuan semua saya hendak kongsi jenis-jenis tindakan yang popular supaya tidak terlepas had masa kerana  jika terlepas had masa, memang tidak boleh membuka kes.

1- Aduan pembuangan kerja secara tidak adil atau pembuangan secara konstruktif – 60 hari dari tarikh pembuangan untuk diadukan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

2- Semakan kehakiman bagi keputusan atau perintah oleh jabatan-jabatan, agensi, pihak berkuasa, tribunal, mahkamah perusahaan dan lain-lain – 90 hari dari tarikh keputusan untuk dirayu di Mahkamah Tinggi.

3- Tuntutan tort dan kontrak – enam (6) tahun dari tarikh bermula kausa tindakan untuk dituntut di mahkamah.

4- Kes kematian akibat kecuaian – tiga (3) tahun dari tarikh kematian untuk dituntut di mahkamah.

5- Tuntutan yang melibatkan pertikaian hartanah – 12 tahun dari tarikh hak bermula untuk dituntut di mahkamah.

6- Kes penipuan – bermula dari tarikh penipuan diketahui. Jadi misalnya penipuan melibatkan kontrak dan hanya mendapat tahu terdapat penipuan kontrak, 10 tahun kemudian. Jadi ianya bermula di saat ini sehingga enam (6) tahun kemudian untuk dituntut di mahkamah.

7- Saman terhadap kerajaan – tiga (3) tahun dari tarikh kecuaian bermula untuk dituntut di mahkamah.

Biar kita celik ilmu supaya kita tidak terlepas hak kita.

Oleh Nor Zabetha.

Kadang-kadang saya kasihan bila menerima kes-kes yang tidak langsung dapat menuntut hak kerana mereka tidak peka…

Posted by Nor Zabetha on Thursday, October 22, 2020

Sumber: Nor Zabetha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.