Siakap Keli

PGA9 Rampas Pelbagai Pakaian Wanita, Beg, Selipar Bernilai Lebih RM200,000

OTA BHARU, 23 Okt- Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) telah merampas pelbagai pakaian wanita, selipar, kasut serta beg berjenama yang dianggarkan bernilai RM205,380, disyaki diseludup masuk ke negara ini dari Thailand.

Supt Nor Azizan Yusof, Pegawai Pemrintah PGA9 berkata kesemua barangan itu dirampas dalam tiga serbuan melalui Op Benteng di Lubok Gong di Rantau Panjang, Pasir Mas, dekat sini, awal pagi tadi.

Tanbah beliau, ketiga-tiga serbuan itu dilakukan dalam tempoh kurang daripada satu jam, dengan rampasan pertama dilakukan berdekatan pangkalan haram Pok Mat, Lubuk Gong pada 1 pagi.

“Dalam serbuan itu anggota PGA9 mendapati beberapa lelaki bertindak melarikan diri menggunakan perahu sebaik menyedari kehadiran pasukan kami. Ketika itu ada sebuah pacuan empat roda dalam keadaan enjin masih hidup, berhampiran pangkalan itu.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati ada guni-guni berisi pakaian wanita pelbagai jenama disyaki diseludup masuk dari Thailand. Keseluruhan rampasan pertama itu dianggarkan sebanyak RM106,750 termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda.” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Nor Azizan, pasukannya kemudian melakukan dua lagi serbuan di dua rumah tidak bernombor di kampung berdekatan Lubok Gong.

Katanya, dalam serbuan kedua pula, pada 1.20 pagi, anggotanya menemui guni-guni mengandungi pakaian wanita, kasut dan beg bernilai RM50,980 disembunyikan di dalam sebuah Proton Waja.

“Selepas itu, pasukan kami bertindak melakukan serbuan ketiga pada pukul 1.40 pagi di sebuah rumah berdekatan di kampung sama dan menemui guni-guni mengandungi pakaian wanita, kasut, selipar yang disembunyikan di bawah rumah itu.

“Kita percaya kesemua barangan bernilai RM47,650 itu, baru sahaja dibawa masuk sebelum dihantar ke lokasi tertentu oleh kumpulan penyeludup,” katanya.

Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa