Siakap Keli

Warga Bangladesh Dipenjara 5 Bulan Kerana Simpan Barangan Curi

KUALA LUMPUR: 23 Okt, padah menyimpan pelbagai barangan keperluan harian yang merupakan barangan curi berjumlah RM5,000, seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nurfarahain Roslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Jahidul Hasan Jundu, 27, selepas dia mengaku bersalah menyimpan pelbagai barangan termasuk empat paket pelitup muka, 56 botol air minuman, 40 botol gel mandian, lima botol losen dan tujuh kotak gula-gula pelbagai jenama, yang diketahuinya barang curi.

Mahkamah memerintahkan lelaki yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 19 Okt lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang premis sebuah restoran di Jalan 65, Jalan Radin Bagus, Brickfields, di sini, pada 5 pagi, 19 Okt dan dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira nilai barangan itu, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hanya dikenakan hukuman ringan.

Di mahkamah sama, seorang penganggur Abang Amran Ibrahim, 33, dihukum penjara tiga minggu selepas mengaku bersalah cuba mencuri wang tabung derma yang diletakkan di kedai makan milik Ansa Sulaihi di Kafe Lepak Kita, Park & Ride, Jalan Suasa, Sungai Besi, di sini, pada 1 pagi, 22 Okt lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman