Siakap Keli

Seorang Kakitangan MRT Laluan Kajang Dilapor Positif COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Rapid Rail Sdn Bhd hari ini mengesahkan seorang kakitangan operasi Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang yang bertugas sebagai pengendali tren disahkan positif COVID-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Syarikat itu menerusi satu kenyataan memaklumkan Rapid Rail yang menjadi operator bagi MRT laluan Kajang melaksanakan kerja-kerja nyah kuman dan pembersihan tempat kerja kakitangan berkenaan malam tadi berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tren-tren sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi.

“Semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diminta menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri selama 14 hari seperti ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) KKM,” menurut kenyataan itu, yang memaklumkan kali terakhir pekerja itu bertugas adalah pada 21 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu lagi, semua agensi berwajib yang berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan berhubung langkah-langkah yang diambil.

Perkhidmatan MRT laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana Sdn Bhd iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti adalah selamat digunakan.

Pengguna dinasihatkan mengikut SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjalankan pemeriksaan suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story