Siakap Keli
Kredit gambar: Istana Negara

TERKINI: YDP Agong Berpendapat Tiada Keperluan Untuk Isytihar Darurat Buat Masa Ini

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda berasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menganggu-gugat kerajaan sedia ada,” katanya dalam perutusan rasmi Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan dalam parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguuhnya, Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” tambah perutusan itu lagi.

Sehubungan itu, semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik diseru untuk mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

 

Sumber: Istana Negara

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.