Siakap Keli
covid-19 perancis
Kredit: Google

COVID-19: Perancis Catat Lebih 50,000 Kes Dalam Tempoh 24 Jam

BEIJING, 26 Okt (Bernama) — Perancis mencatatkan 52,010 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam, laporan harian terkini setelah mencatat 45,422 kes pada Sabtu, menurut Badan Kesihatan Awam pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Sejak pandemik bermula, Perancis setakat ini mempunyai kes terkumpul 1,138,507.

Sejumlah 116 pesakit lagi meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kepada 34,761.

Turki pula mengesahkan 2,017 pesakit baharu pada Ahad, meningkatkan jumlah yang didiagnosis kepada 361,801.

Sementara itu, 72 orang maut dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian kepada 9,799, kata Kementerian Kesihatan Turki.

Di London, 19,790 di Britain diuji positif COVID-19, menjadikan jumlah kes di negara ini meningkat kepada 873,800, menurut angka rasmi dikeluarkan pada Ahad.

Menurut data berkenaan, kematian berkaitan dengan virus itu di Britain meningkat 151 kepada 44,896.

Di Budapest, Hungary mencatatkan 3,149 kes baharu juga pada Ahad, menurut laman web maklumat COVID-19 kerajaan.

Angka dari laman web tersebut menunjukkan jumlah kes yang disahkan sejak kemunculan COVID-19 di Hungary berjumlah 59,247, dengan 16,242 pemulihan dan 1,425 kematian. Ketika ini, 2,449 pesakit sedang dirawat di hospital, termasuk 221 memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur Barat Laut China telah mengenal pasti 137 kes baharu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Semua kes baharu dilaporkan di Wilayah Kashgar selatan Xinjiang setelah seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari perkampungan Shufu di wilayah tersebut disahkan sebagai pembawa virus tanpa gejala semasa ujian rutin asid nukleik pada Sabtu.

Di Hanoi, Vietnam mencatat lapan lagi kes baharu menjadikan jumlah kes disahkan kepada 1,168 dengan 35 kematian akibat jangkitan ini, menurut Kementerian Kesihatan.

Kes terbaharu, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia setahun, semuanya warga Vietnam yang baru pulang dari luar negara dan dikuarantin sejurus ketibaan, kata kementerian itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.