Seorang wanita di China bawa puluhan ahli keluarganya ke janji temu pertamanya bersama dengan seorang lelaki bagi menguji kemurahan hati lelaki tersebut, lapor media tempatan.
Tanpa memaklumkan kepada lelaki tersebut terlebih dahulu, wanita itu telah muncul bersama 23 ahli keluarganya dan mengubah janji temu romantik berkenaan kepada jamuan keluarga.
Wanita tersebut kemudiannya telah ditinggalkan dengan bil berjumlah £2,300 selepas lelaki tersebut menghilangkan diri dari restoran itu setelah menerima bil tersebut, lapor media China.

Menurut laporan, janji temu itu telah dirancang oleh ibu lelaki tersebut selepas dia risau akan anaknya yang sudah lama hidup membujang.
Sebelum berjumpa, lelaki tersebut menawarkan untuk membayar makanan mereka, dengan harapan bahawa ianya akan menjadi makan malam yang romantik untuk mereka berdua.
Namun dia terkejut selepas mendapati bahawa pasangan janji temunya itu tiba di restoran bersama dengan berpuluh ahli keluarganya yang lain tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Wanita tersebut kemudiannya memberitahu kepada media China bahawa dia ingin menguji kemurahan hati pasangannya itu dalam membayar hidangan untuk 25 orang.
Selepas menikmati hidangan mewah, wanita tersebut dan keluarganya terkejut apabila mengetahui bahawa lelaki itu telah menghilangkan diri dari restoran.
Dilaporkan bahawa lelaki itu terus melarikan diri selepas melihat bil yang mengandungi hidangan mahal serta minuman keras yang dipesan oleh saudara-mara wanita terbabit.
Janji temu itu berakhir dengan lelaki tersebut gagal dalam ujian kemurahan hati. Susulan daripada itu, wanita berkenaan dilaporkan terpaksa membayar kesemua jumlah bil tersebut sendirian.
Menurut Daily Mail, mereka berdua kemudiannya telah mencapai kesepakatan dengan lelaki berkenaan akan membayar sebahagian kecil makanan manakala baki yang lain pula akan dibayar oleh kesemua 23 ahli keluarga wanita tersebut.
Insiden tersebut telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen di media sosial China berkenaan siapa yang patut membayarnya selepas ianya mendapat liputan daripada beberapa laman web pada minggu ini.
Seorang netizen mengulas: “Lelaki harus membayarnya. Namun dengan membawa 23 orang ke janji temu tidak boleh diterima.”
Sumber: Daily Mail