Siakap Keli

Finas Tubuh Jawatankuasa Banteras Cetak Rompak

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil langkah proaktif membanteras aktiviti pengedaran filem yang tidak mematuhi undang-undang melalui penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

Finas menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil bagi memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta Finas 1981 atau Akta 244.

“Finas ingin mengingatkan pemegang lesen pengedaran filem supaya menghentikan sebarang kegiatan itu dengan menjual, menyewa dan memberi pinjam melalui platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang yang melibatkan urusan jual beli dan sewaan dalam talian tanpa lesen pengedaran yang sah, melakukan pelanggaran hak cipta serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Finas turut melaksanakan pemantauan terperinci terhadap aduan awam yang diterima mengenai kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

“Finas bersifat terbuka dan menyambut baik untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam membanteras aktiviti pengedaran filem tanpa lesen sah serta tidak mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Perbadanan itu juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Finas 1981 (Akta 244) dan jika disabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 25(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan aduan berkaitan boleh diajukan melalui e-mel [email protected].

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa