Siakap Keli
kenapa kapal terbang tak terbang lurus
Kredit: Google

Kenapa Kapal Terbang Tidak Terbang Terus Ke Destinasi Dan Laluan Melengkung ? Ini Antara Sebabnya

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kapal terbang tidak terus terbang ke destinasi melalui laluan yang paling dekat seperti yang kita lihat di atas peta.

Bukankah tiada ‘kesesakan lalu lintas’ mahupun bukit bukau yang menghalang laluan penerbangan pada ketinggian lebih 30,000 kaki? Kenapa perlu terbang mengikut laluan melengkung dan bukan garis lurus untuk terus sampai ke destinasi?

Bagi mengetahui jawapannya, jom teruskan pembacaan anda.

1. Bentuk bumi

Menurut USA Today, bentuk bumi yang sfera membuatkan ukurlilit pada bahagian garisan khatulistiwa lebih besar berbanding di kutub. Oleh itu, syarikat penerbangan akan memilih laluan paling pendek antara dua titik pada permukaan sfera yang dipanggil Great Circle.

Sebagai contoh, kebiasaan penerbangan dari Amerika Syarikat akan melalui Alaska untuk ke Asia yang lebih cepat berbanding melintasi lautan Pasifik.

Jarak yang lebih pendek juga membantu syarikat penerbangan menjimatkan kos perjalanan mereka.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

2. Mengelak kawasan larangan

Berdasarkan portal The Sun, sesetengah kawasan melarang kapal terbang untuk melintasi ruang udara mereka atas faktor keselamatan dan mengelakkan pencemaran. Antara tempat yang menjadi lokasi larangan kapal terbang ialah Rumah Putih, Taj Mahal, Tibet, Disneyland dan Machu Picchu.

Maka, syarikat penerbangan perlu memilih laluan yang menghindari kawasan tersebut, membuatkan peta penerbangan tidak lurus.

3. Menghindari bahaya

Biarpun mampu terbang pada ketinggian melebihi gunung tertinggi di dunia, Everest (29,028 kaki), kapal terbang masih mempunyai risiko kemalangan di kawasan bergunung. Menurut The Sun, kawasan pergunungan adalah lokasi yang berbahaya untuk penerbangan, sekaligus tidak sesuai untuk pendaratan cemas. Disebabkan itulah mereka mengelakkan kawasan pergunungan Himalaya di Tibet biarpun pemandangannya mungkin indah di atas sana.

Selain itu, penerbangan di zon konflik seperti Ukraine juga adalah satu risiko besar yang boleh membahayakan nyawa juruterbang dan penumpang pesawat.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

4. Kesesakan lalu lintas

Biar betul? Di langit pun ada kesesakan? Ya, menurut data dikongsikan Flight Radar24, ribuan pesawat boleh melintasi ruang udara di seluruh dunia pada satu-satu masa.

Bagaimana juruterbang pastikan agar pesawat tidak berlanggaran antara satu sama lain?

Menurut Medium, kapal terbang bergerak berdasarkan isyarat dari pengawal trafik udara yang memantau dari menara kawalan sebagai panduan.

Seakan ‘polis trafik’ di udara, mereka akan memantau dan memberi isyarat kepada juruterbang agar mengikut laluan yang selamat bagi menghindari ribut kencang ataupun pesawat lain. Oleh itu, jika ada amaran cuaca buruk, trek penerbangan mungkin perlu diubah bagi menjauhi kawasan berisiko, sekaligus menjadikan laluannya ‘tidak lurus’ seperti yang kita jangka.

Sumber: USA Today, Monroe Aerospace, Britannica, The Sun, Flight Radar24, Medium, BBC

Amira

Love yourself.