Seorang kanak-kanak perempuan bersama adiknya yang masih lagi bayi telah ditemui hidup di rumah mereka selepas tiga hari ibu bapa kanak-kanak tersebut meninggal dunia kerana memakan jeruk beracun, lapor Mirror.
Saudara-mara yang kerisauan berasa pelik selepas gagal menghubungi Alexander dan Viktoria Yakunin, yang mereka gambarkan sebagai “pasangan sempurna”.
Mereka telah difahamkan tidak hadir ke perjumpaan keluarga dan apabila dihubungi, anak mereka yang berumur lima tahun itu yang menjawab panggilan telefon mereka.
Kanak-kanak tersebut menyatakan bahawa ayahnya, 30, dan ibunya, 25, “tidur” untuk waktu yang lama dan menambah bahawa ayahnya ‘telah bertukar kehitaman’
Kanak-kanak perempuan tersebut dikatakan menjaga adiknya yang masih berusia satu tahun ketika kejadian.
Kakak kepada Alexander, Natalia Bakulina, 36, lekas bergegas ke rumah mereka yang terletak di kawasan Leningrad Rusia. Sampai sahaja dia disitu, anak buahnya terus membuka pintu rumah berkenaan.
“Saya berlari masuk…dan melihat semuanya. Saya terduduk dan menjerit,” katanya.
Kedua-dua pasangan ibu bapa itu dilaporkan ditemui maut di atas katil mereka.
Susulan daripada itu, Natalia segera menghubungi pihak polis serta perkhidmatan kecemasan, kemudiannya menyiapkan anak-anak pasangan itu dan terus membawa mereka keluar dari rumah mereka.
Portal berita 78.ru menyatakan bahawa keracunan makanan adalah punca utama yang disyaki menyebabkan kedua pasangan tersebut meninggal dunia.
Difahamkan, Alexander telah dibekalkan dengan sebotol jeruk buatan sendiri oleh neneknya sehari sebelum kejadian.
Bekas jeruk itu telah dibuka di dapur, menurut laporan.
Menurut Mirror, toksin botulinum adalah punca yang disyaki menyebabkan kematian pasangan tersebut.
Toksin tersebut boleh menyebabkan badan menjadi lumpuh lebih teruk lagi boleh merosakkan sistem pernafasan dan seterusnya kematian.
Jiran pasangan tersebut, Mikhail Khomchenko menepis dakwaan keracunan alkohol dengan menyatakan bahawa pasangan itu tidak mengambil minuman beralkohol.
“Saya hanya ada tanggapan yang baik sahaja terhadap mereka,” katanya sambil menekankan yang mereka berdua adalah ‘pasangan yang sempurna’.
Kedua kanak-kanak tersebut dilaporkan kini dijaga oleh ayah Alexander.
Sumber: Mirror