LHDN UTC Selangor, PKH Hulu Langat Masih Ditutup

SHAH ALAM, 27 Okt — Kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor di Shah Alam dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) Hulu Langat masih ditutup hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

LHDN memaklumkan bagi PKH Nilai, Negeri Sembilan pula, waktu operasi pejabat itu dihadkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di lokasi berkenaan ketika ini.

“Waktu operasi Kaunter Perkhidmatan Setempat (Bagi Perkhidmatan Percukaian) dan Kaunter Duti Setem di PKH Nilai adalah bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.

“Namun, penerimaan bayaran bagi kaunter duti setem adalah hingga 12 tengah hari sahaja,” menurut kenyataan itu hari ini.

LHDN turut menyarankan orang ramai melakukan urusan percukaian dan perkhidmatan lain secara dalam talian sepanjang tempoh berkenaan dan sebarang pertanyaan atau maklum balas berkaitan boleh disalurkan menerusi platform ‘HASiL Live Chat’, borang maklum balas di laman web LHDN https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/ dan media sosial rasmi lembaga itu.

Semalam, LHDN memaklumkan kaunternya di UTC Selangor ditutup hingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak untuk kerja-kerja sanitasi.

Simber- BERNAMA

Faiz Mustafa

Editor: Azmil

Tambah komen