Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Flat Sungai Emas Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 serta Plaza Hentian Kajang bermula daripada 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan tersebut dibuat atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan terdapat peningkatan kes COVID-19 positif di kawasan berkenaan.
Kerajaan akan laksana PKPD di Flat Sg Emas, Jalan Emas 31 dan 32 serta Plaza Hentian Kajang mulai 28 Okt hingga 10 Nov – Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) October 27, 2020
“Di atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, sidang hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau pun PKPD di Flat Sungai Emas Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 serta Plaza Hentian Kajang bermula pada 28 Oktober sehingga 10 November 2020,” ujarnya.
Tambahnya lagi, PKPD di Flat Sungai Emas Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 itu melibatkan 7 blok flat serta rumah teres dengan jumlah 1,300 penduduk.
Manakala PKPD di Plaza Hentian Kajang pula akan melibatkan seramai 7,500 penduduk.
Beliau juga turut menegaskan supaya semua penduduk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
Sumber: Bernama TV