Siakap Keli

RM300 Juta Bagi Bantu IPTS Bumiputera Yang Terjejas Akibat COVID-19

PUTRAJAYA, 28 Okt- Kerajaan menyediakan RM300 juta untuk melaksanakan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Peruntukan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri, 21 Okt lalu, bertujuan meringankan beban dan kelangsungan perniagaan pengusaha IPTS Bumiputera yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, dalam kenyataan hari ini, berkata MARA sebagai agensi pelaksana diperuntukkan RM300 juta, yang mana RM150 juta diperuntukkan bagi tahun 2020 manakala baki RM150 juta pada 2021.

SPiM PENJANA IPTS akan dilaksanakan sepenuhnya oleh anak syarikat MARA dengan had pembiayaan tidak melebihi RM50 juta, katanya.

“Penilaian had pembiayaan adalah tertakluk kepada keperluan serta keupayaan bayaran balik pembiayaan oleh pemohon,” katanya.

IPTS Bumiputera yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) adalah kumpulan sasar yang layak memohon SPiM, katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di pautan www.pmbtijari.com.my/spimpenjana.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa