Siakap Keli
kedai jahit murah
Gambar: Bernama

Sinar Baharu, Bekas Banduan Al-Maunah Buka Kedai Jahit Sendiri, Hasil 18 Tahun Belajar Menjahit Dalam Penjara

MACHANG, 28 Okt (Bernama) — Tekad untuk mengubah nasib diri akhirnya membuahkan hasil bagi seorang bekas banduan Al-Maunah, apabila beliau kini memiliki kedai jahitan sendiri di Pekan Pulai Chondong di sini, sejak sebulan lalu.

Che Sabri Che Jaafar, 50, atau mesra dikenali sebagai ‘CSCJ Tailor’ yang dibebaskan sejak Ogos lalu selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong berkata, ketika menjalani hukuman selama lebih 20 tahun termasuk di Penjara Kajang dan Penjara Pengkalan Chepa, beliau telah diberi bimbingan dan kemahiran dalam bidang memotong dan menjahit.

Katanya disebalik tirai besi itu juga beliau turut mengikuti program pembangunan ihsan bengkel jahitan serta bekerja di bengkel jahitan dengan gaji yang diperolehi sekitar RM30 sehari daripada pihak penjara.

“Pada awalnya saya tidak mempunyai asas dalam jahitan, namun selepas mengikuti bengkel jahitan yang disediakan oleh penjara sejak tahun 2002 selama setahun, saya mula mahir dalam memotong, menjahit dan sebagainya.

“Malah, saya turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia sebagai Pembuat Pakaian Lelaki Tahap Satu serta Pembuat Pakaian Lelaki Kanan Tahap Dua dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2013 dan 2017, setelah mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK),” katanya ketika ditemui pemberita di kedai jahitan miliknya di Pekan Pulai Chondong di sini hari ini.

Anak ketujuh daripada 11 beradik itu berkata, dengan menggunakan kemahiran yang diperolehi sepanjang berada disebalik tirai besi itu, beliau mampu menghasilkan pelbagai jenis pakaian lelaki termasuk pakaian seragam penjawat awam, baju melayu dan juga baju kurung wanita, sekali gus dapat menjadi sumber pendapatan baginya kini.

Katanya, beliau mula membuka kedai jahitan secara kecil-kecilan menggunakan modal sekitar RM200 yang diperolehi hasil daripada bekerja menjahit, ketika berada di penjara manakala sebuah mesin jahit dipinjam daripada kakaknya Noraini Che Jaafar, 66.

“Upah yang diambil adalah di antara RM50 hingga RM120 bagi sepasang baju, dan sehingga kini saya sudah mendapat lebih 20 tempahan baju lelaki untuk dijahit seperti baju kemeja, batik dan baju melayu.

“Walaupun pada awalnya ada segelintir penduduk setempat yang mempersoalkan kemampuan saya untuk menjahit, namun kini mereka sudah yakin untuk menghantar tempahan pakaian kepada saya selepas melihat beberapa tempahan yang sudah siap dihasilkan di kedai jahitan saya,” katanya yang turut merancang untuk mencari seorang pekerja bagi membantunya dalam masa terdekat.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.