Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Indonesia Maut, Empat Rakan Senegara Selamat Dalam Kebakaran

GEORGE TOWN, 29 Okt (Bernama) — Seorang lelaki warga Indonesia yang menyewa sebuah bilik maut manakala empat lagi rakan senegaranya cedera dalam kebakaran dua rumah kedai dua tingkat di Lebuh Melaka, di sini hari ini.

Lelaki itu yang identitinya masih belum dikenal pasti, ditemukan di atas lantai tingkat atas rumah kedai itu dan dia dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi tidak sempat kerana api sangat marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A’Azelan Hassan berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.01 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas itu dan mendapati api sedang marak.

“Operasi pemadaman terus dijalankan dan (bomba) berjaya menyelamatkan dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 33 hingga 43 tahun dengan tiga daripada mereka (seorang lelaki dan dua wanita)  masing-masing melecur pada bahagian tapak tangan, tapak kaki dan muka ketika cuba menyelamatkan diri manakala seorang lagi patah tangan.

Semua empat mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan mayat lelaki yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

A’Azelan berkata operasi pemadaman melibatkan 50 anggota dan dua buah jentera daripada balai itu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) tamat 8.30 pagi, sementara punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.