Thailand Terima Kemasukan Pelancong Kapal Persiaran, Kapal Layar

BANGKOK, 28 Okt (Bernama) – Kabinet Thailand hari ini meluluskan kemasukan penumpang kapal persiaran dan kapal layar luar memasuki negara itu, dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini, bersetuju membenarkan penumpang kapal persiaran dan kapal layar dari negara risiko rendah dan pertengahan memasuki negara itu.

Beliau berkata semua penumpang atas kapal harus mematuhi langkah-langkah kesihatan yang ketat yang dikenakan oleh kerajaan termasuk menjalani kuarantin 14 hari dan mendapatkan insurans kesihatan yang meliputi rawatan COVID-19 dan penyakit lain berjumlah US$100,000 atau setaraf.

“Penumpang kapal persiaran dan kapal layar akan diberi Visa Pelancong Khas (STV) berharga 2,000 baht. Mereka dibenarkan untuk melanjutkan visa itu sehingga 90 hari untuk dua kali,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Traisuree tidak menjelaskan lebih lanjut bila inisiatif itu akan bermula.

Minggu lepas, Thailand menyambut ketibaan kumpulan pertama pelancong dari Shanghai selepas mengenakan larangan kemasukan pelancong tetap sejak April tahun ini.

Sementara itu, Kabinet hari ini turut meluluskan lanjutan satu bulan lagi, perintah darurat sehingga akhir November.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata lanjutan kelapan itu bertujuan mengekang penularan COVID-19 secara berkesan di negara itu.

Sehingga kini Thailand merekodkan 3,759 kes COVID-19 dengan 59 kematian.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Editor: Edayu

Tambah komen