Siakap Keli
Gambar: Bernama

UiTM Kurangkan Yuran Konvokesyen

SHAH ALAM, 29 Okt — Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk mengurangkan yuran konvokesyen sesi ke-92 bagi semua peringkat pengajian yang akan berlangsung pada 1 Dis depan, susulan pandemik COVID-19.

Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata yuran yang dikenakan sebelum ini antara RM150 sehingga RM230 akan dikurangkan kepada RM110 sehingga RM190.

“Jumlah pengurangan yuran tersebut diberikan secara automatik kepada semua peringkat pengajian dari Diploma dan Ijazah, termasuk PhD bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh graduan.

“Pengurusan tertinggi UiTM amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dan keputusan pengurangan ini antara pelbagai inisiatif dilakukan UiTM untuk membantu graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Nora berkata langkah itu juga sebagai menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang  meminta agar pihak universiti prihatin dengan situasi pelajar yang terlibat.

Beliau berkata UiTM sebelum ini menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dalam norma baharu yang dijadual pada 7 Nov kepada 1 Dis depan susulan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan.

Justeru, katanya graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu melalui Sistem Janji Temu baharu di laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my bermula 26 Okt hingga 8 Nov.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right