tweet dr mahathir
Gambar: Bernama/Google

Ciapan Tun Dr Mahathir Dilaporkan Dipadam, Dianggap ‘Langgar Peraturan Twitter’

Twitter dilaporkan telah memadam salah satu kicauan bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa telah mencetuskan kemarahan, lapor Jakarta Post.

Menurut The Jakarta Post, Tun Mahathir dikatakan menulis, “Muslim mempunyai hak untuk marah dan membunuh jutaan rakyat Perancis selepas pembunuhan beramai-ramai dahulu.”

Kicauan tersebut turut menimbulkan kecaman daripada kerajaan Perancis sendiri yang meminta akaun Tun Mahathir digantung.

“Saya telah bercakap dengan pengarah urusan @TwitterFrance. Akaun @chedetofficial mesti digantung serta merta. Jika tidak, @twitter akan menjadi rakan subahat kepada panggilan rasmi untuk pembunuhan,” kata Setiausaha Dalam Negeri untuk Sektor Digital Perancis, Cedric O.

Dalam kejadian di Nice pada Khamis, seramai tiga orang dibunuh di sebuah gereja di selatan bandar Perancis. Pembunuhan dipercayai didalangi militan itu berlaku kurang dua minggu selepas tragedi pemancungan guru sekolah yang menggoncang negara berkenaan.

Pun begitu, Tun Mahathir tidak mengaitkan kejadian itu secara langsung dengan ciapan beliau semalam.

Dalam bebenang beliau semalam, Tun Mahathir menyatakan bahawa beliau tidak setuju dengan tindakan membunuh guru Perancis yang menunjukkan karikatur Nabi Muhammad di dalam kelasnya atas alasan kebebasan bersuara.

Pun begitu, beliau bertegas bahawa kebebasan bersuara tidak membenarkan seseorang hak untuk menghina orang lain.

“Pembunuhan bukan tindakan yang saya persetujui sebagai Muslim. Tetapi, biarpun saya percaya kebebasan bersuara, saya tidak fikir ia termasuk menghina orang lain. Anda tak boleh pergi kepada seseorang dan memakinya hanya kerana anda percaya kebebasan bersuara,” tulisnya.

Sumber: The Jakarta Post, The New York Times

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Editor: Amira

Tambah komen