Siakap Keli
Kredit: Syafiqah Abu Samah

Ditinggalkan Dalam Keadaan ‘Huru-Hara’, Hasil Transformasi Rumah Oleh Pasangan Ini Raih Pujian, Tampak Eksklusif Dengan Modal Sekitar RM1,000

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Semua orang mengimpikan rumah yang kemas dan selesa tidak kira ianya teres, banglo, flat ataupun kondominium. Kajian oleh Profesor Madya NiCole R. Keith, saintis penyelidik dan profesor di Universiti Indiana mendapati individu yang mempunyai rumah yang bersih lebih sihat berbanding mereka yang mempunyai rumah yang kotor.

Keith bersama rakan-rakan telah menjalankan kajian ke atas 998 warga Afrika Amerika berumur 49 hingga 65 tahun, di mana golongan ini dikenali mempunyai risiko lebih tinggi terkena penyakit jantung.

Hasil kajian itu mendapati individu yang memastikan rumah mereka bersih adalah lebih sihat dan aktif berbanding golongan sebaliknya.

Bercakap tentang kebersihan, baru-baru ini seorang wanita berkongsi hasil transformasi rumahnya dari sebuah rumah seakan ‘tongkang pecah’ menjadi rumah yang bersih dan kemas.

Kongsi Puan Syafiqah Abu Samah, rumah itu merupakan kuarters guru yang sebelumnya dijadikan asrama pekerja buruh binaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Ditinggalkan dalam keadaan semak, pasangan ini terpaksa mengambil masa selama kira-kira sebulan untuk membaik pulih dan menghias kembali rumah berkenaan. Menariknya, mereka hanya membelanjakan sekitar RM1,000 untuk membaik pulih rumah berkenaan. Mari baca perkongsian beliau di bawah.

Alhamdulillah. Allah permudahkan segala urusan. Dari hari mula hingga la in Shaa Allah makin sempurna semuanya. Ini kuarters guru. Tapi masa cuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rumah ni dihuni oleh pekerja buruh binaan yang membina blok bangunan baru.

Bila dah pindah rumah ditinggalkan macam tu saja. Syukur keluarga banyak membantu mengemas semuanya. Dah pindah masuk baru la saya mula deko perlahan-lahan, sekarang baru dua bulan saya duduk sini. Tak ada yang mewah semuanya sederhana in Shaa Allah. Selamat mencuci mata.

Terima kasih semua. Alhamdulillah semuanya komen-komen yang memberi semangat dan membina. Tujuan utama saya pos adalah untuk kongsi idea deko. Membuat sesuatu perubahan kearah yang lebih baik itu sahaja. Tiada niat untuk memburukkan sesiapa. Wallahualam. Yang baik tu dari Allah, yang kurang itu dari saya sendiri. Jom sama-sama kongsi idea.

Sebelum

Semasa


Pasangan ini menggunakan cat minyak untuk mengecat semula pintu bilik mereka manakala lantai dicat menggunakan satu tin cat epoxy Seamaster. Dinding pula dicat menggunakan 2 tin cat jenama sama.

Mereka juga menukarkan pintu tandas di samping menghias dinding dengan wallpaper berbeza untuk dapur dan ruang tamu.

“Alhamdulillah, sebelum nak deko rumah, lama jugak saya dan suami selidik dulu tengok yang mana murah dan berpatutan. Dalam kos RM1,000 tu dapat beli wallpaper ruang tamu, wallpaper dapur, cat dinding, cat epoxy, pintu tandas. Yang selebih tu barang kecil-kecil saja,” katanya.

Mereka menggunakan skru bercangkuk yang digerudi pada siling untuk menggantung langsir sebagai pemisah ruang tamu dan dapur.

Selepas

Dapur

Syafiqah dan suami banyak menggunakan tona kelabu dan memadankannya dengan hijau untuk menghiaskan ruang dapur mereka. Hasilnya, ruang ini kelihatan lebih luas dan sekata namun kelihatan hidup dengan warna hijau yang kontra.

Malah, mereka juga mempunyai ruang memasak yang terbuka dan bebas udara.

Pendapat masing-masing. Ada yang tak suka sebab dapur basah saya terbuka begitu. Untuk makluman semua, rumah saya ni dalam sekolah. Belakang rumah saya bukan hutan. Belakang tu ada tebing sebab kawasan sekolah ni atas bukit. Pemandangan atas ni bleh nampak kampung di bawah.

Atas tebing tu ada padang simen pelajar main bola jaring. Sebelah padang tu dah asrama pelajar. Saya pun baru pindah dua bulan. Belum cukup bajet nak sempurnakan semuanya. In Shaa Allah, doakan saya dan suami murah rezeki sentiasa untuk cantikkan lagi rumah ni ya.

Ruang tamu

Menjawab pertanyaan netizen, kongsi Syafiqah cat yang digunakan tidak membuatkan lantai menjadi sejuk untuk diduduki tanpa alas. Di samping itu, mereka juga membeli rak televisyen terpakai untuk digunakan di ruang tamu.

Bilik tidur

Kongsi Syafiqah, mereka hanya menggunakan tilam untuk bilik tidur utama. Hiasan khat serta pokok kecil yang ringkas dan cantik membuatkan bilik ini kelihatan selesa untuk dijadikan ruang rehat.

Halaman rumah

Sumber: Syafiqah Abu Samah, Psychology Today, NiCole R. Keith

Amira

Love yourself.