KUANTAN, 30 Okt (Bernama) — Kira-kira 37 rumah mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat di sekitar kawasan perumahan di Indera Mahkota di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata pihaknya menerima 37 laporan polis berhubung kejadian di tiga lorong di kawasan perumahan Indera Mahkota 2 itu, selain dimaklumkan mengenai beberapa kejadian pokok tumbang.
Beliau berkata seorang remaja lelaki berumur 14 tahun pula mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap oleh dahan pokok yang patah, semasa dia sedang menunggang motosikal di jalan utama kawasan perumahan itu.
Bercakap kepada pemberita hari ini beliau berkata remaja itu kini menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Sementara itu seorang penduduk yang ditemui di tempat kejadian Mohd Hafizal Mohd Saidi, 30, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 8.00 malam dan semasa kejadian beliau tidak sedar bumbung rumahnya diterbangkan angin kerana siling rumahnya masih teguh.
“Saya sedar ada titisan air masuk dalam rumah, namun beranggapan ia hanya tempias dibawa angin melalui tingkap yang terbuka. Apabila berada di luar, baharu saya tahu bumbung dah tiada, kerana awalnya saya tidak nampak apabila pandangan terhalang oleh siling rumah,” katanya.
Seorang lagi mangsa Khairuddin Abd Manan, 51, berkata kejadian menyebabkan sebilangan perabot dan barangan elektrik di tingkat atas rumah dua tingkat miliknya rosak akibat dibasahi hujan selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin.
Beliau berkata hujan yang berterusan selama hampir sejam selepas ribut tamat juga menyebabkan bahagian atas ditakungi air separas buku lali, sebelum air itu beransur-ansur turun ke tingkat bawah.
Sumber: BERNAMA