Seorang tukang bina yang membaiki atap di sebuah gereja mendakwa menemui sebuah nota tulisan tangan yang dipercayai sejak tahun 1941.
Nota itu didakwa mengandungi beberapa nasihat kepada generasi akan datang.
Gereja St. James di Antwerp, Belgium sedang dalam pengubahsuaian bagi melindungi struktur bangunan bersejarah itu. Pada ketika itu, seorang pekerja menemui kotak mancis yang diletakkan dengan rapi di dalam hiasan yang tergantung dari siling yang menjulang tinggi.
Memetik laporan Mirror, di dalamnya terdapat catatan yang memberi gambaran mengenai keadaan buruk yang pernah ditanggung oleh pekerja pada satu ketika dahulu dan kata-kata penuh hikmat untuk mereka yang akan menemui nota yang bertarikh 21 Julai 1941 itu.
Penemuan yang luar biasa itu dikongsi oleh akaun Instagram rasmi City of Antwerp.
Ia ditandatangani oleh empat lelaki iaitu John Janssen, Jul Gyselinck, Louis Chantraine dan Jul Van Hemeldonck yang menjelaskan bahawa mereka telah bekerja di siling yang sama 79 tahun yang lalu.
Mesej yang tertulis pada belakang kupon kerja juga menyatakan bahawa apabila siling tersebut dicat semula, mereka tidak lagi berada di atas bumi ini.
“Kami perlu memberitahu kepada generasi berikutnya bahawa kami tidak mempunyai kehidupan yang gembira. Kami telah melalui dua peperangan, satu pada tahun 1914 dan satu lagi pada tahun 1940.
“Saya ingin memberi nasihat kepada generasi seterusnya tentang perang yang akan datang. Miliki jumlah makanan yang mencukupi seperti beras, kopi, tepung, tembakau, biji-bijan, gandum, agar anda tetap hidup.
“Nikmati hidup sepenuhnya,”tulis empat lelaki tersebut.
Sumber: Mirror