Siakap Keli

Tular Video Pandu Lawan Arus Di LKSA, Warga Emas 73 Tahun Tersalah Jalan Dan Tiada Kad TnG

SHAH ALAM, 29 Okt (Bernama) — Seorang lelaki warga emas ditahan selepas memandu melawan arus sehingga menyebabkan dua kemalangan di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) di sini pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang tadi itu, seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun telah memandu melawan arus di lebuh raya itu menghala ke pusat bandar Shah Alam, menyebabkan kemalangan di kilometer (KM) 3.1 dan KM6.6.

“Kemalangan pertama di KM 3.1 menyebabkan seorang pemandu kereta jenis Honda City berusia 33 tahun cedera, apabila kereta yang dipandunya terbalik ketika cuba mengelak kereta Perodua Kelisa yang dipandu warga emas berkenaan, manakala di kemalangan di KM6.6 sebuah kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan kereta itu selepas gagal mengelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baharudin berkata pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu.

“Siasatan awal mendapati, suspek memandu dari rumah di Seksyen 8 dan hendak ke pasar raya Tesco di Seksyen 13, tetapi dia telah tersalah jalan dan memasuki Lebuhraya LKSA, setibanya di Plaza Tol Sri Muda beliau tidak mempunyai kad ‘Touch n Go’, lalu berpatah balik melawan arus untuk balik ke rumah,” katanya.

Terdahulu tular satu video di media sosial melihatkan sebuah kereta dipandu melawan arus di bandar ini.

Pemandu kereta berkenaan dilihat tidak memberhentikan kereta walaupun disuruh pengguna jalan raya yang merakam perbuatan berkenaan, dan hanya berhenti selepas terlibat dengan kemalangan secara berhadapan dengan sebuah kereta yang lain.

— BERNAMA