Siakap Keli
Gambar: Google/Bernama

Ramai Petugas SPR Nyatakan Perasaan Bimbang Bertugas Di PRK Batu Sapi Kerana Takut Jangkitan COVID-19

Putrajaya, 31 Okt- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya memberitahunya bahawa para petugas mereka khuatir dijangkiti COVID-19 jika pilihanraya diteruskan di Batu Sapi dan Sarawak.

Dalam perutusan hari ini, beliau berkata PRK Batu Sapi yang dijangka akan diadakan pada Disember ini dan Pilihanraya Sarawak yang mungkin diadakan bila-bila masa tidak dapat dielakkan kerana tertakluk kepada perlembagaan. Pun begitu katanya, kedua-dua pilihanraya ini hanya boleh ditangguhkan jika darurat diisytiharkan di kawasan terlibat.

“Dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan hari ini, setiausaha SPR memaklumkan, ramai petugas pilihanraya menyatakan berasa bimbang untuk bertugas ketika pilihanraya Batu Sapi nanti kerana takut dijangkiti COVID-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan juga melaporkan, jika pilihanraya negeri Sarawak diteruskan, beliau amat bimbang kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap, apakah akan mampu menampung peningkatan kes COVID-19 yang berkemungkinan naik mendadak selepas pilihanraya,” tambahnya.

Katanya, sebanyak 20,000 kes positif baru telah dicatatkan dalam gelombang ketiga COVID-19 berbanding 10,000 kes direkodkan sebelumnya.

“Saya memandang serius trend peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di negara kita pada masa ini. Dalam gelombang ketiga COVID-19 ini, hanya dalam tempoh sebulan lalu, hampir 20,000 kes positif baru dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh enam bulan sebelumnya.

“Jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 ialah 30,090 kes dengan 246 kematian. Setakat ini Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 13,701 kes. Negeri lain yang mencatatkan lebih 1,000 kes ialah Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Sementara itu tambahnya, peningkatan mendadak ini telah memberi tekanan kepada para petugas barisan hadapan.

Katanya, di Sabah sahaja lebih 300 petugas barisan hadapan positif dan lebih 1,200 petugas dikuarantin manakala seramai kira-kira hampir 11,000 anggota polis terpaksa dikuarantin setakat ini di seluruh Malaysia.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.