ISKANDAR PUTERI, 1 Nov — Polis mengingatkan masyarakat supaya tidak hanya memikirkan untung semata-mata apabila menyewakan unit rumah mereka hingga mereka tidak sedar kediaman mereka dijadikan tempat aktiviti jenayah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar membuat peringatan itu kerana terdapat kes pemilik rumah tidak tahu langsung latar belakang dan aktiviti yang dilakukan penyewa rumah mereka.
Katanya, hal ini terbukti dengan pembongkaran satu sindiket yang menganjurkan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah rumah sewa di Taman Bukit Indah, di sini, pada 1 tengah hari semalam melibatkan penahanan tujuh warga tempatan berusia 18 hingga 25 tahun.
“Dalam kes ini, sindiket didapati menggunakan rumah sewa mereka sebagai pusat panggilan perjudian bagi membolehkannya meraih nilai transaksi kira-kira RM6,000 sehari daripada 20 hingga 30 kaki judi, yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu selama sebulan.
“Selain itu, 181 peralatan dirampas dipercayai digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian iaitu termasuk empat set komputer, tujuh telefon bimbit, buku nota tercatit jenis-jenis permainan judi, 13 keping kad bank, sebuah modem dan tiga kalkulator,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana polis kini sedang mendapatkan perintah reman daripada mahkamah.
Pemilik rumah berkenaan pula akan diambil percakapan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
“Jadi di sini, saya memohon sekali lagi kepada pemilik rumah supaya mengkaji latar belakang dan aktiviti yang dilakukan penyewa mereka. Jangan sampai penyewa menyalahgunakan rumah-rumah (sewa) ini untuk aktiviti tidak sihat.
“Begitu juga dengan jiran-jiran setempat, jika ternampak di sebelah rumah terdapat sekumpulan tujuh atau lapan individu yang mencurigakan, silalah salur maklumat kepada polis untuk kami ambil tindakan,” katanya.
Sumber : Bernama