Siakap Keli
Kredit: Bernama

TERKINI COVID-19: 972 Kes Telah Sembuh, 957 Kes Baharu Dan 2 Kluster Baharu Dilaporkan Hari Ini

Putrajaya, 1 November – Sebanyak 972 kes sembuh COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif discaj sebanyak 22,220 kes. Sementara itu, sebanyak 957 kes baru dilaporkan di Malaysia dengan dua kluster baru dikesan di Pulau Pinang dan Selangor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka itu menjadikan jumlah kes di Malaysia sebanyak 32,505, di mana 10,036 daripadanya merupakan kes aktif dengan kebolehjangkitan.

“Ingin dimaklumkan daripada 957 kes baharu pada hari ini, tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kesemua kes yang dilaporkan merupakan kes penularan COVID-19 dalam negara,” tulisnya.

Antara negeri yang mencatatkan pertambahan ialah Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, dua kluster baru dikesan hari ini melibatkan daerah Klang dan Petaling di Selangor serta Timur Laut dan Barat Daya Pulau Pinang.

Berikut adalah perincian kluster terlibat:

Kluster Usaha

“Kluster baharu ini melibatkan daerah Klang dan Petaling di negeri Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-30697) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Sehingga 1 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 25 individu telah disaring, di mana 17 kes dikesan positif, lima negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan,” kata Noor Hisham.

Kluster Tembaga

Sementara itu Kluster Tembaga pula melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di negeri Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-29359) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) pada 28 Oktober 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak enam (6) lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sehingga 1 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif, 13 individu dikesan negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Tiada kematian baru dicatatkan hari ini.

Sumber: KP Kesihatan

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.