Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Video) 8 Bulan Terpisah Dengan Ibu Bapa Kandung, Ini Sebenarnya Kisah Di Sebalik Laungan ‘Amanda’ Semalam

SINGAPURA, 1 Nov (Bernama) — Saya berjaya ‘menemui’ Amanda. Siapakan Amanda? Nama anak kecil berusia enam tahun ini dilaung sekuat hati oleh ‘daddy’ kanak-kanak ini di jeti Woodlands Waterfront Park di sini pagi semalam.

“Amandaaa… mommy… daddy sayang kamu!!” itu merupakan jeritan yang memecah kesunyian jeti sebaik Syfiq seorang rakyat Malaysia, mula ternampak anaknya melambai-lambai dari atas kapal layar di perairan Malaysia di Selat Johor.

Amanda yang hadir bersama ‘ibu’ merupakan antara 20 keluarga yang terpilih menaiki kapal layar yang disediakan oleh pengurusan R&F Princess Cove bagi menyusuri sehampir mungkin dengan perairan Singapura.

Saya menjadi keliru ketika menulis kisah Syfiq semalam sebaik menerima satu tangkapan skrin (screenshot) perkongsian di Instagram yang mengakui beliau adalah ‘Ibu’ kepada Amanda yang berada di atas kapal layar tersebut.

“Sayalah ibu Amanda itu. Saya, Kakak, Amanda, Baby Hayfaa di atas kapal layar itu. Menjerit-jerit sebut nama semua. Ada family lain juga. Kami menang contest di FB R&F Princess Cove,” catat Ezatul Hani.

Beliau memberi reaksi klip video laungan Syfiq di Twitter Bernama yang kini meraih hampir 15 ribu tontonan.

Sedangkan Syfiq ketika saya temui, melahirkan rasa sedih kerana hanya beliau yang dapat datang ke jeti tersebut kerana isterinya tidak dapat pelepasan majikan dan perlu bekerja.

Saya mula terfikir mungkinkah ada dua ‘Amanda’ di atas kapal layar tersebut.

Rasa ingin tahu, saya mula mencari nama Ezatul Hani di Facebook dan langsung berjaya menghubungi beliau.

“Saya ‘ibu’.. itu nama panggilan saya untuk Amanda. Amanda memanggil ibu kandungnya dengan panggilan ‘mommy’,” jelas Ezatul Hani yang berasal dari Skudai, Johor.

Ini bermakna Amanda bukan sahaja terpisah dengan bapanya tetapi juga ibu kandungnya sejak lapan bulan lalu, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi mengekang wabak COVID-19.

Menurut Ezatul Hani, beliau mula menjaga Amanda sejak dua minggu lalu selepas ibu saudara Amanda tidak lagi dapat menjaga anak kecil itu kerana perlu pulang ke kampung.

Wanita berhati kental dan mulia ini, sanggup dan bersedia menjaga Amanda bersama anaknya sendiri, Baby Hayfaa yang kini berusia hampir sembilan bulan.

Ini juga bermakna Baby Hayfaa juga terpisah dengan bapanya Umarul Nazim, rakan sekerja kepada bapa Amanda, sejak lapan bulan yang lalu.

“Kami terpisah ketika saya masih dalam pantang melahirkan Baby Hayfaa,” menurut Ezatul Hani yang berkahwin pada Mei 2019.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.