KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Alliance Bank Malaysia Bhd dan Zurich Malaysia telah memperkenalkan insurans siber pertama di Malaysia bagi melindungi pengguna daripada kerugian kewangan yang disebabkan oleh jenayah siber.
Bank itu berkata polisi Perlindungan Siber Z-Alliance (Z-Alliance Cyber Protect) melengkapkan rangkaian perlindungannya untuk pelanggan dan merupakan pengembangan kerjasama bankasuransnya dengan Zurich, katanya dalam satu kenyataan bersama untuk memperkenalkan produk itu di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, kerjasama dengan Zurich membolehkan bank terus mencadangkan inovasi digital yang relevan bagi memenuhi keperluan pelanggan.
“Jenayah siber adalah ancaman yang lazim terhadap lingkungan digital kita, lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 apabila lebih ramai pengguna membeli-belah dalam talian.
“Ini menjadikan Perlindungan Siber Z-Alliance sebagai penyelesaian tepat pada masanya untuk melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Bhd, Junior Cho berkata polisi berkenaan dapat melindungi pengguna daripada kerugian kewangan yang berlaku daripada kecurian identiti dalam talian, pemerasan, dan penipuan.
“Jaminan dan perlindungan sangat berharga dalam meningkatkan gaya hidup rakyat Malaysia, dan kami dengan senang hati memperkenalkan produk yang memenuhi keperluan pengguna melalui Alliance Bank,” katanya.
Polisi itu juga memperuntukkan kos pemulihan seperti yuran pembaikan komputer riba akibat insiden perisian hasad dan penggantian kerugian daripada transaksi penipuan palsu disebabkan oleh barangan atau perkhidmatan yang tidak dihantar.
“Boleh didapati dengan harga yang berpatutan RM0.31 sehari bagi setiap polisi, penyelesaiannya menawarkan liputan pembelian luar negara yang dihantar ke Malaysia.
“Insurans itu diperluaskan untuk melindungi pasangan dan anak-anak dalam isi rumah yang sama dan menetap di Malaysia,” katanya sambil menambah pelanggan boleh membeli polisi insurans tersebut tanpa perlu mengunjungi cawangan fizikal.
Alliance Bank dan Zurich menawarkan pelanggan yang melanggan polisi Perlindungan Siber Z-Alliance sehingga 31 Mac 2021, tambahan bulan perlindungan percuma untuk bulan ke-13.
Sumber: BERNAMA