BATU PAHAT, 2 Nov — Demi persahabatan lebih 20 tahun, seorang wanita sanggup berkorban wang, masa dan tenaganya untuk menjaga sahabat baiknya yang terlantar akibat sakit buah pinggang.
Biarpun tanpa pertalian darah, Rozani Abd Kadir, 58, meninggalkan kerjanya sebagai pekerja kilang kira-kira 10 tahun lepas dan sanggup susah dan senang bersama sahabatnya, Sharifah Mohd Yatim, 56, yang tinggal serumah dengannya, yang dianggap seperti adiknya sendiri sejak lebih dua dekad.
Wanita itu berkata Sharifah telah disahkan menghidap penyakit berkenaan pada 2002 dan keadannya menjadi semakin serius sejak 10 tahun kebelakangan ini menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian menjaga Sharifah yang yatim piatu itu.
Tambah Rozani, dia sememangnya ikhlas menjaga rakan karibnya itu memandangkan mereka telah lama hidup serumah selain pernah menempuh pelbagai cabaran bersama-sama.
“Kini saya menjaga dia seperti adik sendiri termasuk urusan seharian serta membawa dia mendapatkan rawatan susulan. Sebelum ini, dia telah banyak membantu saya dan saya rasa bersalah pula jika tidak membantunya ketika dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Bilal, di sini, hari ini.
Rozani selama ini menggunakan wang simpanannya serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membiayai hidupnya dan perbelanjaan perubatan Sharifah.
Terdahulu, Rozani menerima bantuan keperluan harian dan wang tunai daripada Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Penggaram dan Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat yang diwakili oleh Mohd Hamidi Mad Tap.
Dalam pada itu, Mohd Hamidi berkata pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat agama daerah bagi meneliti status bantuan secara bulanan yang diterima oleh pesakit buah pinggang.
“Jika belum ada bantuan, kita akan cuba membuat permohonan dan sekiranya telah ada bantuan kita akan mohon tambahan memandangkan kos rawatan sakit buat pinggang yang agak tinggi,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu atau meringankan beban Sharifah, boleh menghubungi Rozani di talian 017-7228086.
— BERNAMA