Walaupun zaman semakin hari semakin maju ke hadapan tidak kira dari segi ekonomi, teknologi, persekitaran malah adat resam tetapi adat pantang larang yang kian ditelan zaman juga tetap diamalkan dari turun temurun bermulanya dari zaman nenek moyang kita sehingga kini oleh sesetengah masyarakat khususnya kaum Melayu. Selain daripada kaun Melayu, kaum lain juga mempunyai adat resam mereka tersendiri. Namun begitu, mari kita selami pantang larang yang dahulu yang masih diamalkan oleh masyarakat melayu sehingga kini.
Apakah yang dimaksudkan pantang larang?
Menurut Kamus Dewan, “pantang larang” itu sendiri membawa maksud perbuatan yang terlarang untuk dilakukan oleh seseorang individu menurut adat dan juga kepercayaan. Malah, bagi sesetengah masyarakat kita menganggap ianya suatu kepercayaan nenek moyang dari zaman lampau yang diturunkan secara lisan dari generasi ke generasi sebagai suatu dogma dalam kehidupan seharian.

Sehubungan dengan itu, pantang larang memainkan sifat “sebab’ dan “akibat’ di mana sekiranya seseorang itu melanggar pantang larang yang dinyatakan tersebut maka dikuatiri individu tersebut akan mengalami perkara yang buruk. Hal ini dapat dilihat orang yang berusia akan marah dan menghukum sekiranya anak-anaknya melakukan pantang larang tersebut. Ia boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu pantang larang yang menghubungkan kekeluargaan, sosial dan moral manakala yang kedua menghubungkan kesihatan dan juga penyakit.
Untuk pengetahuan anda, pantang larang telah direka oleh nenek moyang di mana anda dapat melihat kebijaksanaan dan juga kreativiti akal dan minda nenek moyang terdahulu untuk mendidik anak-anak mereka malah keturunan mereka menjadi seorang insan yang bermoral dan berakhlak. Kewujudan pantang larang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat termasuklah wanita mengandung, kanak-kanak, bayi dan kaum lelaki. Hal ini bagi memberikan teguran ataupun nasihat kepada seseorang secara tidak langsung. Ia dilihat sebagai satu cara teguran yang halus agar dapat menjaga maruah dan air muka individu tersebut.
Tambahan pula, penggunaan bahasa yang digunakan di setiap pantang larang tersebut sama ada tersurat atau tersirat membuatkan masyarakat generasi kini tertanya-tanya dan menimbulkan beberapa persoalan di setiap pantang larang yang dilontarkan oleh masyarakat melayu. Adakah masih releven penggunaan pantang larang pada masa kini?

Terdapat beberapa pantang larang yang sering digunakan dan didengari oleh masyarakat hingga kini:
- Tidak boleh menghembus mulut bayi, nanti menjadi bisu.
Perkataan “bisu” yang terdapat di dalam pantang larang tersebut sudah mampu membuatkan golongan ibubapa berasa ketakutan di mana mereka tidak ingin anak mereka yang disayangi mengalami sebarang kecacatan. Pantang larang ini bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan terutamanya bayi yang baru lahir. Hal ini demikian, bayi yang lahir dikatakan mempunyai imuniti badan yang rendah dan mudah untuk dijangkiti penyakit. Apabila ibubapa bayi tersebut melakukan hembusan di mulut bayi mereka, dikuatiri mulut mereka mempunyai kuman dan boleh menyebabkan bayi mengalami jangkitan daripada perbuatan tersebut.
2. Tidak boleh duduk atas bantal, punggung terkena bisul.
“Jangan duduk atas bantal nanti bisol,” inilah antara jeritan mak setiap kali nampak anaknya berbuat demikian.
Pantang larang ini kerap dilakukan oleh golongan kanak-kanak kerana bagi mereka bantal merupakan suatu objek yang boleh di pelbagai gunakan sebgai alat permainan mahupun tempat untuk duduk. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bantal merupakan objek yang digunakan manusia sebagai mengalas kepala untuk berehat dan juga tidur. Perbuatan duduk di atas bantal ini melibatkan anggota badan kita iaitu punggung di mana ia merupakan salah satu anggota badan yang kotor dek kerana tempat perkumuhan berlaku. Oleh itu, masyarakat tidak digalakkan duduk di atas bantal kerana dilihat sebagai perbuatan yang tidak disegani.
3. Bersiul di dalam rumah dikatakan rumah akan dimasuki ular.
Perbuatan bersiul kerap dilakukan oleh golongan berjiwa muda iaitu remaja dan dewasa. Golongan ini beranggapan bahawa bersiul dilakukan untuk menghiburkan hati ketika berada di dalam rumah. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, bersiul didefinasikan sebagai sesuatu perbuatan yang menyamai bunyi suling dengan menggunakan anggota mulut. Pada pandangan orang tua, sekiranya anak gadis melakukan perbuatan bersiul, ia di lihat sebagai suatu perbuatan yang tidak sopan.
4. Tidak boleh menyanyi ketika memasak di dapur.
Perbuatan ini sering dilakukan oleh kaum wanita khususnya anak gadis yang sedang memasak di dapur. Pantang larang ini diwujudkan bertujuan untuk menjadi kiasan bagi menegur secara halus. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh mengundang perkara yang tidak diingini berlaku seperti lalai ketika memasak yang boleh menyebabkan makanan yang dimasak hangus mahupun terlupa mencuci bahan mentah seperti sayur-sayuran yang boleh mengakibatkan keracunan makanan. Pada masa yang sama, perbuatan tersebut boleh menyebabkan air liur termasuk ke dalam masakan.
5. Jangan habiskan beras di dalam tong beras.
Kononnya orang dahulu beranggapan bahawa beras merupakan simbolik rezeki andai kehabisan maka rezeki akan terputus. Justeru, orang dahulu menyarankan untuk meletakkan barang makanan yang kering di dalam bekas beras supaya tidak kehabisan beras seperti lada kering ataupun kulit kayu manis. Perbuatan ini dilakukan bagi mengelakkan beras berbau hapak apabila kuantiti beras sedikit dan mengelakkan bubuk berkunjung di dalam tong beras.
Kita dapat menyimpulkan bahawa pantang larang yang menjadi istiadat Melayu merupkan mitos semata-mata yang digunakan sebagai kiasan dalam menegur perbuatan seseorang serta mendidik menjadi seorang insan yang bermoral dan dihormati.
Rujukan
(1) Maksud pantang larang, Sumber dipetik daripada https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pantang+larang
(2) Maksud bersiul, Sumber dipetik daripada https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bersiul
(3) Omar, A. H. (2014). Pantang Larang Dalam Kalangan Orang Melayu: Analisis Perspektif Dalam Teori SPB4K. Sumber dipetik daripada http://jurnal.dbp.my/index.php/Melayu/article/download/4523/1302/
(4) Zamani, N. D., & Hassan, H. (2018). Bahasa Pantang Larang Masyarakat Melayu Dan Hubungannya Dengan Prinsip Relevans Kognitif Dan Prinsip Relevans Komunikatif. Sumber dipetik daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/JPM/article/download/15368/9189/