Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

FAM, Kedutaan Arab Saudi Bincang Kerjasama Dua Hala Bangunkan Bola Sepak

KUALA LUMPUR, 2 Nov  (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kedutaan Arab Saudi hari ini membincangkan mengenai kerjasama dua hala dalam pembangunan bola sepak serta bidaan negara yang kaya dengan sumber minyak itu sebagai tuan rumah kali pertama acara sukan serantau dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Dalam pertemuan itu, kami membincangkan kerjasama antara kedua-dua negara dengan menjadikan bola sepak sebagai pemangkin. Kami bertukar pandangan dalam usaha membangunkan bola sepak bukan sahaja untuk negara masing-masing tetapi buat seluruh keluarga bola sepak Asia khususnya.

“Selain membincangkan isu semasa, pembangunan bola sepak wanita dan futsal turut dibincangkan,” kata Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan di kediaman rasminya bagi membincangkan hubungan dua hala dalam pembangunan bola sepak.

Arab Saudi sebelum ini secara rasmi melancarkan tawaran untuk menjadi tuan rumah Piala Asia AFC untuk kali pertama pada tahun 2027 dan Sukan Asia ke-21 pada tahun 2030.

Ia adalah sebahagian daripada objektif sukan Wawasan 2030 Arab Saudi, rangka kerja strategik yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Mohammed Salman untuk mengurangkan kebergantungan negara itu kepada sumber minyak dengan mempelbagaikan ekonominya dan mengembangkan sektor seperti rekreasi dan pelancongan.

Empat negara lain – India, Iran, Qatar dan Uzbekistan – turut menghantar bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia, sementara Riyadh perlu berdepan saingan dari Doha, Qatar untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030,  selepas Hangzhou pada 2022 dan Nagoya pada 2026.

Arab Saudi, sebuah kuasa besar tradisi di Timur Tengah, telah memenangi Piala Asia AFC sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996 dan juga layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali pada tahun 1994, 1998, 2002, 2006 dan 2018.

Sumber: BERNAMA