Siakap Keli

Majikan Khususnya Di Zon Merah Dipohon Beri Cuti Pelepasan Kepada Pelajar Praktikal

PUTRAJAYA, 3 Nov – Pelajar-pelajar yang menjalani Latihan Industri (LI-praktikal) terutamanya dalam kawasan Zon Merah perlu memohon cuti daripada majikan, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ia berikutan keadaan yang agak kurang selamat bagi pelajar-pelajar tersebut untuk menjalani LI mereka buat masa ini.

“Saya memohon kepada majikan-majikan tersebut supaya membenarkan pelajar-pelajar praktikal ini diberikan cuti supaya mereka tidak berada di pejabat. Kerana mereka adalah pelajar praktikal, bukan pekerja tetap.

“Jadi saya harap (majikan) gunakan budi bicara bagi menjaga keselamatan pelajar-pelajar praktikal ini (untuk) bagi mereka pelepasan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Bagaimanapun, sesi LI boleh disambung kembali apabila keadaan sudah mulai pulih kelak.

Dalam masa sama, Ismail turut dimaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bahawa pelajar-pelajar tersebut bukan lagi di bawah tanggungan kementerian berkenaan ketika sepanjang tempoh LI, sebaliknya majikan syarikat.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai kebimbangan pelajar-pelajar LI terlibat, sementara institusi pendidikan seperti Institut Pengajian Tinggi lain telah ditutup lebih awal.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'